Memaparkan catatan dengan label Ilmu Orang Melayu. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Ilmu Orang Melayu. Papar semua catatan

Isnin, 1 Ogos 2011

SENDA GURAU HELAH ALASAN.


Dalam budaya Melayu;
orang tua tua pun;
biasalah berpesan: 
Mengenai sakit pening;
serta mati dan ajal;
janganlah hendaknya;
dijadikan bahan;
untuk senda gurau;
atau helah alasan.


Isnin, 8 Mac 2010

Kekuatan Bangsa Melayu (Siri Lanjutan)

Kekuatan Bangsa Melayu   (Siri Lanjutan) =

Ada sahabat bolger bertanya tentang: 
http://penaminang.blogspot.com/2010/03/dimana-terletaknya-kekuatan-melayu.html

Jawapan Hamba Spontan dan mudah: 
KETULINAN IMAN.

Itu baru istilah hamba sendiri. Kalau diambil dari kata kata guru hamba Allahyarham Ustaz Abdullah bin Mohamed (Nakhula) bekas Pengerusi Lembaga Penasihat Musium Negeri Kelantan katanya ialah Tauhid. Hamba memilih untuk tidak menggunakan istilah itu kerana Nakhula menggunakan istilah itu dengan huraian yang terlalu mendalam yang hamba tidak yakin dapat menyampaikannya dengan tidak membuka kemungkinan yang boleh mengelirukan.

Walau bagaimana pun perbincangan kita seterusnya akan berkisar sekitar maklumat sejarah dan juga ceritera. Mengikut Nakhula orang Melayu secara umum dan institusi pemerintahannya tidak pernah tergelincir dari Islam. Maksudnya ialah dari pegangan tauhid. Ini adalah kerana orang Melayu itu adalah petapa yang gigih dan sentiasa dekat dengan hidayah Allah swt.
Mengikut catatan dalam buku catatan perjalanan Ibnu Batutah.
Ibnu Batutah pernah mudik sungai Kelantan dan Mendarat disatu tempat bernama Klu Klai dimana rajanya ialah seorang perempuan yang memakai kain sampai kepangkal lengan dan bawahnya sampai ke pergelangan kaki. Bahunya terdedah. Sangat sangat menghirmati tetamu. Ibnu Batutah telah dibenarkan mengadap dan sempat bertanyakan tentang ugamanya. Raja perempuan yang dipercayai sebagai Puteri Saadon I itu meminta kertas dan dakwat dari inangnya dan menulis jawabnya. Mengikut kefahaman Ibnu Batutah tulisan itu bermaksud "Satu jadi banyak. Banyak kembali satu" Mengikut kefahaman Ibnu Batutah raja itu dan rakyatnya berpegang dengan ajaran Keesaan Tuhan.
Hikayat Mahraja Besar:
Mahraja Besar ialah Raja Pemerintah Negara Jamek Ambar. Kerajaannya memerintah dari mungkin sekitar bukit Panau iaitu sekiar Tok Uban kini. Baginda mempunyai 3 orang anak:

1. Nama asalnya mungkin Rangjuna. Dalam alam pertapaannya bergelar Sang Rajuna Tapa dan kekadang Sang Adi Putera. Namanya bertukar mengikut peranan dan tempat ia hadhir. Bila menjelma ke alam nyata beliau memakai berbagai nama termasuk Panca Suria Si Tamin Sari.

2. Seorang perempuan yang tidak diketahui namanya. Kemungkinan beliau dikenali sebagai Puteri Saadon Pertama.

3.Sangjaya atau Raja Ahmad kemudian bergelar Syed Ahmad. Kini dipercayai masih berkerajaan dalam alam ghaib di Gunung Tebu (kini dalam kawasan Terengganu).

Apabila sudah cukup lanjut usianya Mahraja Besar telah memanggil ketiga tiga anaknya untuk menyerahkan kerajaan kerana beliau berkeinginan hidup dengan mendekatkan dirinya dengan Allah swt. Rangjuna menolak kerana masih berhasrat untuk meneruskan suluknya yang sudah menghampiri kematangan tetapi terganggu kerana pulang menemui panggilan ayahanda itu. Adik kepadanya adalah seorang perempuan. Maka adik bongsunya Raja Ahmad telah digesa supaya menerima t/jawab itu dengan janji kalau negeri dilanda bencana atau dicemari noda dan dosa beliau akan kembali untuk menghapuskannya. Maka Raja Ahmad pun menerimanya.

Berpindahlah Mahraja Besar ke satu kawasan berbatas dan pamah yang sesuai dijadikan kawasan bendang bergelar batas besar bendang padi raja bersama sebilangan pengikutnya. Sebuah istana dibina untuk kediaman permaisurinya bersama satu perkampungan. Kini tempatnya bergelar Padang Permaisuri.

Mahraja Besar asik berulang alik ke Gunung Tebu dimana beliau menumpukan suluknya untuk mendekatkan diri dengan Allah sehingga beliau dianugerahkan berbagai hidayah dan keistimewaan. Akhirnya beliau berjaya dicelahi dan dihasut goda oleh ajazil dan menjadi sesat sehingga memerintahkan rakyat jelata sembah sujud kepadanya, tidak lagi kepada Allah, Tuhan yang tidak zahir.

Perkhabaran tiba kepada Raja Ahmad dan setelah berbagai usaha pujuk rayu tidak membuahkan hasil Raja Ahmad telah mengistiharkan perang dengan Ayahandanya. Dengan bantuan dari kekandanya dan Sayid Hamzah dan Sayid Umar Al Khatib Mahraja yang syurik itu telah berjaya dihapuskan.

Inilah kekuatan Bangsa Melayu. Ketulinan tauhidnya sentiasa terjaga. Dan ada kuasa dari lapis lain lagi yang ikut bersama menjaga ketulinan itu. Cuma kehadhiran makhluk Allah itu kini kita napikan kerana kita ini mampu percaya kepada apa yang dapat kita lihat dengan mata lendir sahaja.
Ekspresi Budaya: Wayang Kulit, Mak Yong, Peteri, Tarian Saba dan Dikir Sarawak yang sempat hamba pelajari serba sedikit rahsia didalamnya semuanya mempunyai unsur yang tersirat menjurus kepada mengenali Allah. Malahan hamba sendiri puas juga mebaca berbagai naskah kitab mengenai sifat 20 maka fahamlah setakat menghafal dan mengerti. Namun apabila kefahaman dibantu oleh kefahaman yang tersirat melalui rahsia rahsia terjalin dalam amalan kesenian Melayu baharulah dapat hamba merasakan kehadhiran Zatul Buhti itu. Mashaalah.

Maaflah jangan ambil pengajaran dari sini. Carilah guru yang sebenar tahu. Memang sukar mencari guru yang tahu kerana kita telah diajarkan untuk menapikannya sejak lama dahulu. Kita yang gagal memahami rahsianya telah menghukum ia sebagai syirik. Betapa ruginya kita membuang rahsia kebijaksanaan zaman kuno itu. Mashaallah.

Pertabalan Sultan Di Perak:
Hamba menyaksikan sendiri pertabalan Sultan Azlan Shah Paduka Seri Sultan yang memerintah seluruh negeri Perak. Selepas ditabalkan secara resminya mengikut istiadatnya di Balai Rong Sri Paduka Seri Sultan dibawa sebuah balai lain yang masih dilereng Bukit Chandan itu tetapi terletak dekat dengan tebing sungai Perak. Balai itu digelar sebagai Balai Jin. Di Balai itu Paduka Seri Sultan diTabalkan sekali lagi mengikut istiadat tersendiri. Kali ini Paduka Seri Sultan di Tabalkan sekali gus menjadi Raja pemerintah juga kepada masyarakat Jin.

Pada ketika itu ada pertanda menunjukkan masyarakat Jin ikut menerima perlantikan itu dengan cara ikut memandikan Paduka Seri Sultan dengan air dikatakan dari Sungai Perak yang turun dalam bentuk hujan dalam keadaan panas terik tanpa tompok awan itu. Hamba pun ikut merasai terkena titisan hujan itu.

Maka Hamba pun tetaplah akan bertegas mengatakan Raja Raja Melayu yang dinaungkan kebawah duli kebawah duli itu hal ehwal Ugama Islam dan adat istiadat Melayu adalah Raja juga bagi masyarakat Jin. Sesuai dengan Rasullalah saw dilantik menjadi Nabi dan Rasul bagi Jin dan Manusia. Wallahuaaklam.

Cuma kita hari ini jarang yang mengiktira kehadhiran serta peranan mereka dikalangan kita. Padahal mereka juga ada yang kafir dan ada juga yang berhasil di Islamkan. Mashaallah.

MAKA BAGI HAMBA KAJIAN MENDALAM DENGAN KEFAJAMAN YANG JELAS MENGENAI KEDUDUKAN RAHSIA INI AKAN MENEMUKAN KITA SEMUA DENGAN KEKUATAN BANGSA MELAYU. Inshaallah.
Wallahuaaklam

Sabtu, 6 Mac 2010

KEKUATAN BANGSA MELAYU = Ketulinan Iman.

Ada sahabat bolger bertanya tentang: 
http://penaminang.blogspot.com/2010/03/dimana-terletaknya-kekuatan-melayu.html
Kekuatan Bangsa Melayu ?

Jawapan hamba spontan sahaja:

KETULINAN IMAN.
Cuma maklumat yang kita ada seperti kata sahabat blogger yang berlogokan shahadat; adalah berdasarkan kepada tulisan orang barat. Mereka menjajah wilayah wilayah dengan matlamat GGG (glory/gold/gosple) yang terbit dari dendam perang sabil (crusade) berebut Jerussalam disamping mendapatkan rempah dan lain lain bahan dari wilayah wilayah yang kaya dirantau ini.

Satu lagi perkara yang ingin hamba beri tumpuan ialah ada tercatatnya dalam protokol of the zionis; "we change history" sebagai satu tajuk kecil. rujuk buku: "conquering the world through the protocols of the Zionist" - tulisan Victor Marsden. Dan hal itu memang diusahakan oleh British dan juga lain lain bangsa Eropah yang menjajah kita.

Tindakan awal penjajah apabila menguasai wilayah ini ialah menulis pertama mengenai adat resam dan sifat dan sikap ia itu Budaya Melayu. Sumber sejarah sedia ada dihapuskan. Munshi Abdullah (yg diajarkan kepada kita supaya mengkagumi) telah diupah untuk mengutip semua menuskrip Melayu. (Diulangi SEMUA menuskrip Melayu) kerana ada maklumat dimana beberapa naskah salinan manuskrip yang sama juga dikutip habis.

Satu cerita menarik yang hamba temui ketika mengiringi Us. Abdullah Mohd (Nakhula) menjalankan penyelidikan mengenai bentuk mesjid potong Demak di Melaka dalam tahun 1975. Kami telah bertemu dengan Tuan Haji Idris, imam tua di Mesjid Serkam Pantai. Beliau yang lahir dalam tahun 1900 adalah bekas seorang guru Melayu yang disarakan dalam tahun 1929 kerana telah diperakukankan oleh doktor bangsa Inggeris sebagai tidak sihat. Mengikut cerita tuan Haji Idris beliau cuma mengalami sedikit batuk ketika itu tetapi beliau disuruh datang lagi dan lagi ke hospital.

Rahsia sebenar disebalik cerita itu ialah kerana beliau memang suka menulis mengenai adat resam dan sejarah Melayu. Dan saya telah berjaya mendapatkan 2 buah buku kecil tulisan tangan Tuan Haji Idris. Kedua buku itu malangnya hangus bersama 13 jilid Ensaiklopedia Budaya Melayu dalam api yang membakar Wisma Keramat (kini Wisma Tanah) dalam tahun 1983. Pejabat dan Perpustakaan kami adalah terletak di tingkat 16 bangunan itu dan hamba sendiri telah berhenti kerja pada masa itu.

Cerita mengenai api di itu adalah agak menarik kerana sebelum itu Wisma Keramat telah dua kali digemparkan oleh api yang bermula dari longgokan surat khabar di tingkat 12. Api yang akhirnya membakar keseluruhan bangunan itu juga bermula dari lantai yang sama. Cuma siasatan yang dijalankan tidak dapat membuktikan adanya perbuatan khianat.

Satu lagi cerita menarik timbul semasa hamba mengiringi Mohd Affandi Hassan, Pengarah Seksi Penyelidikan Kebudayaan di KKBS dalam tahun 1974 untuk bertemu dengan Tuan Haji Mohd Yusof yang berusia sekitar 76 tahun pada masa itu. Tuan Haji Yusof ialah abang kepada Pendeta Zaaba. Beliau tinggal di Rembau NS tetapi telah di bawa ke Alor Gajah, Melaka untuk bertemu beberapa orang penulis jemputan pada masa itu. Tuan Haji Yusof ialah bekas Pegawai Tadbir Melayu yang bersara pada Tingkat Tertinggi (Super Scale) G yang bersamaan dengan M 1 sekarang. Berkelulusan pangkat 2 School Certificate Tuan Haji Yusof adalah dikira pelajar pintar berbanting Zaaba sendiri yang mendapat pangkat 3.

Sebagai pelajar pintar beliau telah ditawarkan untuk terus menjadi Pegawai Tadbir Melayu tetapi kenaikan pangkatnya memang lembab kerana pertama beliau tidak minum arak dan kedua beliau enggan menjadi ahli kepada Kelab Selangor (Selangor Club) dan yang paling parah ialah beliau enggan berdansa serta tidak membawa isterinya ke majlis majlis perjumpaan pegawai. Beliau adalah tidak sosial dan sukarlah untuk naik pangkat walau pun bijak. Ada beberapa pengalaman Tuan Haji Yusof dimana beliau telah dipanggil oleh Ketua beliau yang berterus terang mengenai kedudukan kenaikan pangkatnya. Oleh kerana kedegilannya maka lambat benarlah kenaikan pangkatnya.

Moralnya cerita ini menunjukkan betapa British telah memaksakan perubahan budaya terhadap orang Melayu. Malahan apabila British kembali ke Tanah Melayu selepas Perang Dunia ke 2 bapa tiri hamba yang sempat berjuang di Pasir Panjang di Singapura enggan menerima tawaran untuk menjadi pegawai dalam pasukan Askar Melayu atas sebab yang sama jualah.

Hamba juga ikut menerima tempias apabila telah dimasukkan ke sebuah sekolah Inggeris dalam tahun 1954. Datok hamba yang dibesarkan di madrasah Tok Ku Paloh telah tidak bertegor sapa dengan ibu hamba selama lebih 5 tahun kerana takut hamba menjadi kafir. Pada hal hamba dan semua adik beradik pupu hamba tetap berhimpun di rumah Datok setiap malam Jumaat kerana beliau mengajar ilmu Ugama. Tetapi kemudian baharulah hamba faham maksud Datok itu ialah menganut budaya orang kafir.

Walau bagaimana pun ketulinan Jiwa Melayu yang perkasa tetap musnah juga diperkotak katikkan oleh sejarah. Zaman pendudukan Jepun pun beberapa ramai orang Melayu yang perkasa dan handal serta pemimpin yang dipatuhi menerima hukuman maut. Yang sukar dihadiahkan kematian itu ditanam hidup hidup. Zaman bintang tiga yang dipimpin oleh Chin Peng walau pun hanya 17 hari juga berapa ramai orang Melayu yang hebat daya pimpinannya dihapuskan. Bapa yang membesarkan hamba telah sempat melompat naik ke pentas yang dijadikan sebagai mahkamah dimana seorang sahabatnya telah dijatuhkan hukuman pancung. Alhamdulillah orang tua berkenaan selamat dan dilepaskan dengan bantahan dari bapa tiri hamba itu.

Itu baru kesah sejarah yang hamba alami sendiri sahaja. Kesah sejarah tertulis tidak perlulah hamba yang tuliskan kerana hamba bukan mengkhusus dalam bidang sejarah. Ini pun sudah menjadi terlalu panjang. Kerana terlalu panjang itu izinkan hamba berhenti dahulu setakat ini dahulu.

Malam nanti akan hamba sambung pula mengenai kesah Ilmu. Hamba berhajat nak ceritakan maklumat maklumat yang melibatkan pengalaman sendiri sebenarnya, kerana hal begitu jarang orang lain ceritakan.

Inshaallah malam nanti hamba sambungkan. Lagi pun waktu Maghrib sudah hampir kini....  ....   ....  .... akan bersambong.

Ahad, 20 Disember 2009

Mengawal Umarah Nafsu Insan.

Seorang sahabat menulis mengenai masadepan seorang pemimpin yang padanya sudah punya masa depan yang tipis sekali didalam kepimpinan. Ini adalah kerana pada pendapatnya pemimpin itu telah meningkat naik dengan begitu laju dengan bersandarkan kepada kekuatan yang bukan dari dirinya sendiri. Oleh kerana sandarannya itu kini sudah tidak lagi berada dalam susun lapis pimpinan maka kekuatannya yang menumpang itu pun ikutlah tertolak. 

Hamba faham benar dengan apa yang cuba disampaikan itu dan hamba pun bersependapat dengan sahabat itu. Namun yang menarik bagi hamba ialah sebuah cerita hikayat mengenai Wau Bulan yang mungkin boleh diambil sebagai pengajaran juga dalam hal yang ada hubungan dengan cerita yang dibawakan oleh sahabat kita itu. Sengaja hamba tidak catatkan siapa yang bercerita itu dan dilaman mana dia membuat catatannya atas sebab sebab yang tersendiri bagi hamba. Maaflah. 

Cerita hikayat yang hamba maksudkan ialah seperti dipertirinkan di bawah ini:


"Wau beremas bersayap sandang; 
tinggi 7 gah besar 7 lejang; 
baru dilambung sudah melompat awan; 
mengarak teraju meregang tali;  
nyaring siul membabas busul; 
lenggok menyentak lenggang meregang;
iring juara karak tak lekat; 
manalah tempat nak ikat tambat; 
maka diikat pada batu, batu pecah; 
diikat juga pada pokok, pokok tercabut; 
diikat juga pada bukit, bukit runtuh, 
diikat pada gunung, gunung pun rebis.
Maka akan juara matang bicara; 
diikat juga pada rumput gelang sambal. 
.......  .....    
........   
Maka akan Wau Bermas bersayap sandang 
tunduk runduk dibawah paras awan 
lembut tari limbai langkahnya 
mencari ayah bertanyakan guru.  ....    .....    ....."

Demikianlah cara orang dahulu kala menyampaikan pengajaran. Jauh sindirannya tetapi berlapis dan mendalam maksudnya. Wau yang hebat dengan hiasan keemasan (lambang nafsu) kalau sudah dilambung menocang bermain angin menyentak terajunya dan meregangkan talinya meluncur naik sampai keparas angin atas (baru dilambung sudah melompat awan). 

Keterlaluanlah angkuhnya (nyaring siul membabas busur) dengan gaya yang keterlaluan (lenggok menyentak lenggang meregang). Sehingga pengemudinya pun menjadi nanar (iring juara karak tak lekat). Maka kemanalah akan di ikat (maka diikat pada batu, batu pecah; diikat juga pada pokok, pokok tercabut; diikat juga pada bukit, bukit runtuh, diikat pada gunung, gunung pun rebis). 

Maka tiadalah tambatan lain lagi yang mampu menjinakkan keghairahan itu melainkan pada diri yang menggunakan pertimbangan akal yang seimbang jalar dengan budi bahasa yang halus serta kemas cermatnya. Baharulah turun keghairahan nafsu itu keparas wajar (mencari ayah bertanyakan guru) Maksud ini digambarkan dengan rupa rumput gelang sambal yang jarang pelepah dan daunnya tetapi lebih lebat akarnya dengan serabut akar rambut yang halus tetapi penoh serabutnya. Baharulah


Apalagi kalau diperhatikan betul betul bentuk akar rumput gelang sambal ini; keliling umbinya penoh dengan akar kasar (akar tunjang belaka) tetapi serabutnya penoh seperti kapas. Inilah juga sebabnya ia selalu digunakan oleh orang Melayu untuk merenjiskan tepong tawar atau air penawar dalam proses perubatan terutamanay kejiwaan.

Wallahhuaalam.

Sabtu, 5 Disember 2009

Cubit Ikan dalam Piring.

Wahai anak anak. Ingat ingatlah pesan atok ini. Bila dijemput untuk menghadapi hidangan bersama sama dengan bakal mertua mu hati hatilah dengan hidangan lauk yang kena dicubit seperti ikan atau daging dan ayam dalam ketulan yang besar. Ada banyak ekor ikan atau ketolan ayam/daging dalam piring. Cubitlah dengan cermat. 

Berilah peranan yang tersendiri dan khusus kepada jari jari berbeza. Cubit dengan cermat dan hati. Jangan sampai yang dicubit itu terburai atau apa lagi melenting. 

Tindakan itu diperhatikan kerana ia menggambarkan peribadi mu. Jangan sampai memberi gambaran bahawa kamu adalah jenis orang yang gelojoh. Turuti cubitan sedia ada. Jangan lari dari bekasan sedia ada kerana itu boleh difahamkan sebagai kamu adalah jenis orang yang tak suka ikut arus dan suka bawa hal sendiri cara sendiri sendiri atau tak sosial. Ikut jelujur cubitan yang sudah dimulakan. 

Kalau pun teringin sangat untuk merasa ketulan yang lain kerana selera khusus tertentu; jangan spontan sahaja cubit ketulan yang lain. Suarakan dahulu dengan rayuan yang lembut dan memohon. Namun yang terbaiknya habiskan satu satu. 

Inilah murninya tertib nilai Melayu zaman dahulu dan mungkin juga sudah dilupakan kini.

Jumaat, 30 Oktober 2009

MINDA CELARU = Fahaman Orang Dahulu Kala.

Teringat kepada betapa cermatnya orang Melayu dahulu kala memerikan tahap tahap kecelaruan jiwa dan minda manusia. Apabila mereka memperincikan tahap tahap kecelaruan minda diistilahkan seperti berikut:

Lugar:
Istilah lugar yang kita fahami kini membawa erti tiada keseimbangan antara kelapangan perut dan selera. Namun apabila istilah itu digunakan didalam bangkitan mentera seperti pernah hamba temui, ia bermaksud ada penolakan minda terhadap apa yang ada didalam otak fikir. Mermaksud apabila kita menghadapi keadaan yang diistilahkan sebagai lugar itu sudah lahirlah semacam kebosanan dan kebencian terhadap isu sedang dhadapi.



Mual:
Tahap yang lebih memuncak daripada lugar. Sudah membuak kebencian yang teramat sangat. Seperti hendak muntah layaknya. Muntah yang meluluh keluarkan benda benda tidak diingini dari dalam perut adalah perkara biasa yang mudah kita fahami. Tetapi muntah yang dimaksudkan dalam maksud bangkitan mentera ini bermaksud meluahkan penolakan minda dalam bentuk cernaan tindakan emosi.


Babok:
Menggambarkan pemberontakan perasaan. Sudah lahirlah didalam perasaan dorongan untuk menzahirkan penolakan, kebencian dan kemarahan terhadap sesuatu itu melalui tindakan. Dorongan napsu ummarah yang sudah menjadi agak sukar untuk dikawal. Kadang kadang suhu badan pun pada peringkat ini sudah menjadi tidak seimbang dan terkawal.

 

Bikun:
Dorongan napsiah sudah sempai kepuncaknya. Puncak kemarahan sudah menjadi tidak terkawal sehingga boleh terbit dengan sendirinya perkataan atau tindakan spuntan atas dorongan napsiah. Pertimbangan dari otak fikir sudah menipis dan teramat kurang peranannya. Dalam perkataan kini barangkali kita istilahkan sebagai "Bengong". Dalam keadaan bengong itu kira bicaranya sudah tidak boleh sepenohnya diambil kira lagi.



Pening:
Tekanan fikiran dirasakan pada bailogi / fisikal otak mungkin dalam bentuk denyutan atau imbangan yang tidak menentu. Sampai keperingkat ini deria deria penglihatan, pendengaran, sentuhan, kecapan dan hidu (bau) pun mungkin sudah mula menerima kesan bersama; kerana induk deria sudah ketererlaluan menanggong beban dari tekanan gangguan terhadap sistem serta emosinya. 


Relu:
 Induk deria sudah sampai kepuncak dalam menanggong beban dari tekanan gangguan terhadap sistem serta emosinya. Tekanan terhadap deria deria penglihatan, pendengaran, sentuhan, kecapan dan hidu sudah menjadi bertambah nyata dan sukar dikawal. Maka tindakan tindakan juga menjadi sukar hendak dikawal. Tetapi pada peringkat ini penanggongnya akan masih teringat akan salah dan silapnya setelah sesuatu lafaz perkatan atau tindakannya terlepas. Dia masih sekali sekali dapat kembali kepada sedar tetapi sudah keterlaluan condong kepada tuntutan napsu ummarah yang parah (bisikan syaitan ?)

Gila:
Sudah hanyut kealam fentasi. Dunianya sudah menjadi lain sama sekali. Dia sidah bertindak mengikut bisikan luaran (bisikan syaitan) yang sudah menguasai minda dan sudah masuk menakluk hatinya. Namun pada peringkat ini penanggung masih lagi ada maruah dan harga diri. Dia masih akan marah dan melenting jika maruah dan harga dirinya dicela. Dia masih ada rasa malu.


Spera:
Segala tindakan sudah hampir sepenohnya dikuasai oleh bisikan syaitan. Sidah tiada lagi maruah dan harga diri. Sudah tiada lagi rasa malu. (Orang dahulu kala menyebutnya sebagai sudah lupa kain bajunya). Sepenoh mindanya sudah hanyut dibuai perasaan yang sudah diterbangkan kealam fentasi. Dia seronok disana kerana alam yang palsu itu indah baginya. Namun apabila ada sebab atau sabit dia masih boleh dijinak/tenangkan sekadar untuk masa ketika tertentu. Individu yang dalam hidupnya selalu menjadi pujaan, sanjungan atau dikagum hormat biasanya boleh menjadi penyebab itu. Ahli ahli yang matang dengan ayat ayat tertentu atau bait bait mentera bangkitan tertentu juga mampu menerbitkan radiasi yang mampu menjinak / menenangkan penanggung spera.


Catatan ini dicetuskan daripata istilah istilah yang hamba pernah dengar dan faham dari mentera yang pernah diungkapkan oleh ahli ahli dalam amalan perdukunan / perbomohan Melayu. Hamba sebenarnya pernah bertanya secara agak mendalam tentang maksud perkataan perkataan itu dan pernah mencatatkan sekadar yang dapat hamba faham ketika itu. Catatan itu pun pernah menjadi bahan dalam percubaan untuk menerbitkan Ensaiklopedia Budaya Melayu yang musnah dimakan api Wisma Keramat sekitar 1984.


Apa yang tercatat disini cuma berdasarkan ingatan dan huraian yang terbit dari daya fikir hamba sendiri pada masa kini. Namun hamba tetap merasakan ia menarik untuk dikongsikan dengan sahabat sahabat dan anak anak zaman kini. Semuga ia boleh menjadi sebab untuk mencetuskan sesuatu yang lebih bermakna.


Hamba juga merasakan lontaran ini sudah menjadi penting bagi mencetuskan fahaman terhadap banyak perkara yang sedang berlaku kini. Mashaallah.


Wallahhuaalam Bissawab.

Rabu, 14 Oktober 2009

FATWA DALAM MENGENAL HATI MANUSIA.

Tiba tiba fikiran fikiran menjadi tertumpu kepada suatu mimpi yang terjadi lama dahulu. Dalam mimpi itu hamba didatangi oleh moyang hamba Wan Mutahir @ Wan Tahir @ Batin Itam yang menjaga banjaran pantai negeri Terengganu DI serta pulau pulau di laut Cina Selatan dengan caranya sendiri sehingga zaman Marhum Haji. Kehadhiran beliau ketika itu seperti memberi peringatan kepada hamba agar memerhatikan dengan cermat beberapa orang sahabat di sekeliling hamba. Beliau memaklumkan kepada hamba apa yang hamba namakan sebagai fatwa mengenal hati manusia.

Entah mengapa tiba tiba hari ini hamba menjadi bersemangat untuk berkongsi fatwa itu sekadar yang dapat diingat dan diungkapkan pada hari ini. Mudah mudahan semua yang berguna untuk tatapan manusia akan bersinar memancar dalam otak ingat hamba semasa membuat catatan ini. Inshaallah apa sahaja yang wajar menjadi rezeki umum akan keluar daripada kitab ingatan ini. Barangkali juga maklumat yang lebih lagi dapat dikutip dari buku buku saikologi. Hamba cuma merasakan maklumat ini ada kelainannya yang tersendiri.

Setiap manusia adalah pencari kerana Tuhan memang menganugerahkan akal kepadanya sebagai anugerah yang istimewa. Namun anugerah itu adalah petanda kepada tanggung jawab yang kena dipikul. Manusia kena bertanggung jawab terhadap apa sahaja yang dikerjakannya kerana apa sahaja yang dikerjakannya adalah hasil olahfikir dan simpulrumus dari mindanya sendiri.

Dalam pencariannya manusia adalah teramat keratif. Apa sahaja tindakannya adalah caranya sendiri. Cara yang terpilih itu pula adalah berbagai bagai bergantung kepada niat dan hajat serta ketulusan dan keikhlasan individu. Ada yang menyembunyikan niat hajatnya; ada yang mengistiharkan niat hajatnya dan ada juga yang mengistiharkan niat hajat itu sebagai pelindung kepada niat hajat yang sebenarnya tersirat dalam keinginan pencariannya sendiri. Mudah ceritanya ada orang yang telus, tulus dan ikhlas;  namun ada juga yang tidak.

Ada lagi sejenis hati manusia kejadian Tuhan ini yang memang tidak sedar. Biasalah kalau yang tidak sedar apa yang ia bicarakan. Keadaan itu lahir dari sikap ambil mudah dan bersahaja mengisi ruang dan selalunya didorong oleh hajat supaya terlihat sebagai pandai dan bijak. Ini menunjukkan hatinya berisi dengan madu berzatkan napsu.

Namun ada juga manusia yang memang tidak sedar akan niat hajatnya kerana memang kefahamannya sudah dianjurkan oleh unjuran yang dia sendiri tidak faham lantaran lendir mindanya sudah tersalut oleh petunjuk yang salah dari maklumat yang tidak difahami dengan sempurna. Inilah sebabnya sesuatu maklumat itu kena cuba dilihat banyak kali dari banyak sudut untuk mencari kepelbagaian makna kelainan maksud. Jadi rupanya untuk sentiasa paling hampir dengan benar itu manusia kenalah membina mindanya untuk menjadi kaya dengan berbagai rupa dan bentuk kefahaman diatas perkara yang satu.

Malangnya kebanyakan manusia selalu suka mengunci mindanya dengan jalur pengertian yang mula mula dia faham dan seterusnya menjadikan fahaman itu sebagai sudah mutlak, memadai dan sudah sempurna lengkap. Finomina ini selalu menghalang manusia daripada berkembang dan berkembang lagi dengan kekayaan ilmu. Apa lagi untuk menemui kebenaran yang jelas pasti.

Kadang kadang yang ditemui oleh ilmunya itu memanglah yang benar tetapi ia belum menemui kebenaran kerana benar yang dikenali itu cuma sekadar luaran atau sekadar rupa dan bentuknya sahaja. Rupa dan bentuk itu sendiri masih memerlukan terjemahan, olah kaji dan cerna ulas yang mendalam. Belum lagi diselak dedah kulit rupa dan pola coraknya. Namun manusia selalu mudah menjadi selesa dengan mengenal tajuk yang dapat diolah tayang mengkagumkan. Perasaan selesa itulah yang membuat manusia mudah menjadi puas dengan seronok merasa sudah faham dan tahu.

Sesungguhnya apabila berhadapan dengan manusia manisia yang berada dalam keadaan seperti tersebut di atas itu kita boleh mengenal ia. Moyang hamba berpesan; apabila berhadapan dengan manusia dan bercakap (berhubung) dengannya perhatikan:

Bagaimana dia melepaskan perkataan perkataan (dalam penyampaiannya). Orang yang yakin dengan apa yang hendak disampaikan akan melontarkan perkataan perkataannya bulat bulat dengan jelas dan lantas. Dia tidak akan teragak agak atau menelan bahagian bahagian akhir perkataan. Orang yang tidak pasti dengan apa yang hendak disampaikan akan menarik kembali selalunya bahagian hujung beberapa perkataan yang diucapkan. Demikianlah juga keadaannya orang yang sedar ia sedang tidak bercakap benar. Keadaan yang sama juga berlaku dengan orang orang yang gelojoh tetapi kita dapat membezakannya kerana orang gelojoh menelan hujung perkataan kerana perkataan lain menghambat dibelakang.  

Kerdipan cahaya dari matanya. Orang yang bercakap dengan membelakangi suara hati selalunya akan dapat merasai tekanan apabila didapati orang sedang memerhati tepat pada matanya. Kalau dia tidak gagah dalam mengawal perasaan dalamannya kelopak mata itu sendiri akan berkedip. Namun kerlipan cahaya dari dalam bola matanya tetap berkedip. 

Awas mata serta telinganya. Orang yang seimbang kawalan derianya selalunya tidak mudah gagal mengesan sebarang peristiwa yang tercetus dalam persekitarannya. Semasa berbicara menyampaikan ada cetusan cetusan berkaitan berlaku dalam persekitaran. Adakah dia memberi perhatian dan bagaimana pula reaksi diberikan. Tahap hormat yang dia beri kepada cetusan cetusan itu adalah tahap kemuliaan hatinya disamping menjadi pengukur ketangkasan mindanya.

Bagaimana dia menghormati persekitaran dan orang lain dihadapan dan juga disekelilingnya. Keterbukaan dalam hal mengiktiraf hak orang lain dengan baik adalah pengukur kemuliaan hati.

Selasa, 8 September 2009

Jin Putih Hitam Dohor ...................

Manusia adalah kejadia paling istimewa. Tuhan meletak paras manusia itu melebihi paras malaikat. Kelebihan itu bukan cuma cuma. Ada tanggong jawab yang berkepit mengembar. Itulah cabaran yang kena dihadapi dan ditanggong.

Bagi menghadapi cabaran itu Tuhan menganugerahkan alat yang hebat kita panggil akal "yang bersarang pada otak kita". Hebatnya akal itu terbukti apabila kita faham bahawa ia menghulur alir dalam sulam pindan merata seluruh tubuh memberi kilau pancar jelas pada bahagian (organ) tertentu badan zahir.

Anugerah akal yang hebat itu adalah rahmat dari Allah untuk digunakan oleh manusia bagi menghadapi cabaran cabaran dalam usaha memakmorkan bumi Allah ini. Rupanya bumi ini adalah diamanahkan Allah untuk dimakmorkan oleh umat manusia.

Akal adalah alat utama yang seterusnya berkembang pula dalam deria yang selalunya dihitong berjumlah 5 iaitu:
  1. Dengar.
  2. Hidu / bau.
  3. Kecap.
  4. Raba / sentuh.
  5. Tampak / pandang.
Pengalaman hamba cuba memahami mentera Melayu pernah membawa hamba berhadapan dengan beberapa olahan menarik mengenai rahsia kejadian ini. Namun biarlah ia menjadi pustaka yang dipikul amanah membendungnya oleh mereka yang layak dan bertanggong jawab sahaja.

Di laman ini hamba cuma nak cuba mengajak anak anak mengalun lenggok dalan olah tari lima pola deria itu sahaja. Itu pun dalam asas yang ringkas sahaja mampu hamba bentangkan dilaman terbuka ini.

Dorongan menjurus arus rasa didada hamba sehingga ingin membentangkan perkara ini terbit dari kenangan terhadap seungkapan potongan mentera yang berbunyi:

"... ... ... .....dok peraja junjung julang ke jin putih sekor. Jin putih hitam dhohor seri penaklok, kuning seri perakam ... .... "

Sebutan nama jin itu adalah ditujukan dengan biji mata yang putih dengan hitam dalam ditengahnya dan bintik kuning (yellow spot mengikut istilah sains) di bahagian dalamnya. Kelohan /tegoran yang dibangkitkan oleh pembawa mentera ialah bahawa pelanggannya (subjeknya) itu ialah sekadar apa yang nampak di mata kasar dan disukai oleh mata kasar sahaja.

Maka bagi hamba inilah peringatan yang ingin hamba sampaikan kepada masyarakat kita kini. Memang itulah yang merajai pilihan (napsu) kita kini ........ ................. .................... ................. .................... ....................... ..................... ...................... ..................... ...................

Hamba bercadang untuk membiarkan sahabat2 dan saudara seumat menyambung sendiri dari situ buat beberapa ketika. Hamba akan kembali dengan olehan selanjutnya apabila hamba rasakan hamba sudah tersedia bersedia.

WALLAH HUAALAM