Sabtu, 6 Mac 2010

KEKUATAN BANGSA MELAYU = Ketulinan Iman.

Ada sahabat bolger bertanya tentang: 
http://penaminang.blogspot.com/2010/03/dimana-terletaknya-kekuatan-melayu.html
Kekuatan Bangsa Melayu ?

Jawapan hamba spontan sahaja:

KETULINAN IMAN.
Cuma maklumat yang kita ada seperti kata sahabat blogger yang berlogokan shahadat; adalah berdasarkan kepada tulisan orang barat. Mereka menjajah wilayah wilayah dengan matlamat GGG (glory/gold/gosple) yang terbit dari dendam perang sabil (crusade) berebut Jerussalam disamping mendapatkan rempah dan lain lain bahan dari wilayah wilayah yang kaya dirantau ini.

Satu lagi perkara yang ingin hamba beri tumpuan ialah ada tercatatnya dalam protokol of the zionis; "we change history" sebagai satu tajuk kecil. rujuk buku: "conquering the world through the protocols of the Zionist" - tulisan Victor Marsden. Dan hal itu memang diusahakan oleh British dan juga lain lain bangsa Eropah yang menjajah kita.

Tindakan awal penjajah apabila menguasai wilayah ini ialah menulis pertama mengenai adat resam dan sifat dan sikap ia itu Budaya Melayu. Sumber sejarah sedia ada dihapuskan. Munshi Abdullah (yg diajarkan kepada kita supaya mengkagumi) telah diupah untuk mengutip semua menuskrip Melayu. (Diulangi SEMUA menuskrip Melayu) kerana ada maklumat dimana beberapa naskah salinan manuskrip yang sama juga dikutip habis.

Satu cerita menarik yang hamba temui ketika mengiringi Us. Abdullah Mohd (Nakhula) menjalankan penyelidikan mengenai bentuk mesjid potong Demak di Melaka dalam tahun 1975. Kami telah bertemu dengan Tuan Haji Idris, imam tua di Mesjid Serkam Pantai. Beliau yang lahir dalam tahun 1900 adalah bekas seorang guru Melayu yang disarakan dalam tahun 1929 kerana telah diperakukankan oleh doktor bangsa Inggeris sebagai tidak sihat. Mengikut cerita tuan Haji Idris beliau cuma mengalami sedikit batuk ketika itu tetapi beliau disuruh datang lagi dan lagi ke hospital.

Rahsia sebenar disebalik cerita itu ialah kerana beliau memang suka menulis mengenai adat resam dan sejarah Melayu. Dan saya telah berjaya mendapatkan 2 buah buku kecil tulisan tangan Tuan Haji Idris. Kedua buku itu malangnya hangus bersama 13 jilid Ensaiklopedia Budaya Melayu dalam api yang membakar Wisma Keramat (kini Wisma Tanah) dalam tahun 1983. Pejabat dan Perpustakaan kami adalah terletak di tingkat 16 bangunan itu dan hamba sendiri telah berhenti kerja pada masa itu.

Cerita mengenai api di itu adalah agak menarik kerana sebelum itu Wisma Keramat telah dua kali digemparkan oleh api yang bermula dari longgokan surat khabar di tingkat 12. Api yang akhirnya membakar keseluruhan bangunan itu juga bermula dari lantai yang sama. Cuma siasatan yang dijalankan tidak dapat membuktikan adanya perbuatan khianat.

Satu lagi cerita menarik timbul semasa hamba mengiringi Mohd Affandi Hassan, Pengarah Seksi Penyelidikan Kebudayaan di KKBS dalam tahun 1974 untuk bertemu dengan Tuan Haji Mohd Yusof yang berusia sekitar 76 tahun pada masa itu. Tuan Haji Yusof ialah abang kepada Pendeta Zaaba. Beliau tinggal di Rembau NS tetapi telah di bawa ke Alor Gajah, Melaka untuk bertemu beberapa orang penulis jemputan pada masa itu. Tuan Haji Yusof ialah bekas Pegawai Tadbir Melayu yang bersara pada Tingkat Tertinggi (Super Scale) G yang bersamaan dengan M 1 sekarang. Berkelulusan pangkat 2 School Certificate Tuan Haji Yusof adalah dikira pelajar pintar berbanting Zaaba sendiri yang mendapat pangkat 3.

Sebagai pelajar pintar beliau telah ditawarkan untuk terus menjadi Pegawai Tadbir Melayu tetapi kenaikan pangkatnya memang lembab kerana pertama beliau tidak minum arak dan kedua beliau enggan menjadi ahli kepada Kelab Selangor (Selangor Club) dan yang paling parah ialah beliau enggan berdansa serta tidak membawa isterinya ke majlis majlis perjumpaan pegawai. Beliau adalah tidak sosial dan sukarlah untuk naik pangkat walau pun bijak. Ada beberapa pengalaman Tuan Haji Yusof dimana beliau telah dipanggil oleh Ketua beliau yang berterus terang mengenai kedudukan kenaikan pangkatnya. Oleh kerana kedegilannya maka lambat benarlah kenaikan pangkatnya.

Moralnya cerita ini menunjukkan betapa British telah memaksakan perubahan budaya terhadap orang Melayu. Malahan apabila British kembali ke Tanah Melayu selepas Perang Dunia ke 2 bapa tiri hamba yang sempat berjuang di Pasir Panjang di Singapura enggan menerima tawaran untuk menjadi pegawai dalam pasukan Askar Melayu atas sebab yang sama jualah.

Hamba juga ikut menerima tempias apabila telah dimasukkan ke sebuah sekolah Inggeris dalam tahun 1954. Datok hamba yang dibesarkan di madrasah Tok Ku Paloh telah tidak bertegor sapa dengan ibu hamba selama lebih 5 tahun kerana takut hamba menjadi kafir. Pada hal hamba dan semua adik beradik pupu hamba tetap berhimpun di rumah Datok setiap malam Jumaat kerana beliau mengajar ilmu Ugama. Tetapi kemudian baharulah hamba faham maksud Datok itu ialah menganut budaya orang kafir.

Walau bagaimana pun ketulinan Jiwa Melayu yang perkasa tetap musnah juga diperkotak katikkan oleh sejarah. Zaman pendudukan Jepun pun beberapa ramai orang Melayu yang perkasa dan handal serta pemimpin yang dipatuhi menerima hukuman maut. Yang sukar dihadiahkan kematian itu ditanam hidup hidup. Zaman bintang tiga yang dipimpin oleh Chin Peng walau pun hanya 17 hari juga berapa ramai orang Melayu yang hebat daya pimpinannya dihapuskan. Bapa yang membesarkan hamba telah sempat melompat naik ke pentas yang dijadikan sebagai mahkamah dimana seorang sahabatnya telah dijatuhkan hukuman pancung. Alhamdulillah orang tua berkenaan selamat dan dilepaskan dengan bantahan dari bapa tiri hamba itu.

Itu baru kesah sejarah yang hamba alami sendiri sahaja. Kesah sejarah tertulis tidak perlulah hamba yang tuliskan kerana hamba bukan mengkhusus dalam bidang sejarah. Ini pun sudah menjadi terlalu panjang. Kerana terlalu panjang itu izinkan hamba berhenti dahulu setakat ini dahulu.

Malam nanti akan hamba sambung pula mengenai kesah Ilmu. Hamba berhajat nak ceritakan maklumat maklumat yang melibatkan pengalaman sendiri sebenarnya, kerana hal begitu jarang orang lain ceritakan.

Inshaallah malam nanti hamba sambungkan. Lagi pun waktu Maghrib sudah hampir kini....  ....   ....  .... akan bersambong.

Tiada ulasan: