Wahai anak anak. Ingat ingatlah pesan atok ini. Bila dijemput untuk menghadapi hidangan bersama sama dengan bakal mertua mu hati hatilah dengan hidangan lauk yang kena dicubit seperti ikan atau daging dan ayam dalam ketulan yang besar. Ada banyak ekor ikan atau ketolan ayam/daging dalam piring. Cubitlah dengan cermat.
Berilah peranan yang tersendiri dan khusus kepada jari jari berbeza. Cubit dengan cermat dan hati. Jangan sampai yang dicubit itu terburai atau apa lagi melenting.
Tindakan itu diperhatikan kerana ia menggambarkan peribadi mu. Jangan sampai memberi gambaran bahawa kamu adalah jenis orang yang gelojoh. Turuti cubitan sedia ada. Jangan lari dari bekasan sedia ada kerana itu boleh difahamkan sebagai kamu adalah jenis orang yang tak suka ikut arus dan suka bawa hal sendiri cara sendiri sendiri atau tak sosial. Ikut jelujur cubitan yang sudah dimulakan.
Kalau pun teringin sangat untuk merasa ketulan yang lain kerana selera khusus tertentu; jangan spontan sahaja cubit ketulan yang lain. Suarakan dahulu dengan rayuan yang lembut dan memohon. Namun yang terbaiknya habiskan satu satu.
Inilah murninya tertib nilai Melayu zaman dahulu dan mungkin juga sudah dilupakan kini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan