Ahad, 20 Disember 2009

Mengawal Umarah Nafsu Insan.

Seorang sahabat menulis mengenai masadepan seorang pemimpin yang padanya sudah punya masa depan yang tipis sekali didalam kepimpinan. Ini adalah kerana pada pendapatnya pemimpin itu telah meningkat naik dengan begitu laju dengan bersandarkan kepada kekuatan yang bukan dari dirinya sendiri. Oleh kerana sandarannya itu kini sudah tidak lagi berada dalam susun lapis pimpinan maka kekuatannya yang menumpang itu pun ikutlah tertolak. 

Hamba faham benar dengan apa yang cuba disampaikan itu dan hamba pun bersependapat dengan sahabat itu. Namun yang menarik bagi hamba ialah sebuah cerita hikayat mengenai Wau Bulan yang mungkin boleh diambil sebagai pengajaran juga dalam hal yang ada hubungan dengan cerita yang dibawakan oleh sahabat kita itu. Sengaja hamba tidak catatkan siapa yang bercerita itu dan dilaman mana dia membuat catatannya atas sebab sebab yang tersendiri bagi hamba. Maaflah. 

Cerita hikayat yang hamba maksudkan ialah seperti dipertirinkan di bawah ini:


"Wau beremas bersayap sandang; 
tinggi 7 gah besar 7 lejang; 
baru dilambung sudah melompat awan; 
mengarak teraju meregang tali;  
nyaring siul membabas busul; 
lenggok menyentak lenggang meregang;
iring juara karak tak lekat; 
manalah tempat nak ikat tambat; 
maka diikat pada batu, batu pecah; 
diikat juga pada pokok, pokok tercabut; 
diikat juga pada bukit, bukit runtuh, 
diikat pada gunung, gunung pun rebis.
Maka akan juara matang bicara; 
diikat juga pada rumput gelang sambal. 
.......  .....    
........   
Maka akan Wau Bermas bersayap sandang 
tunduk runduk dibawah paras awan 
lembut tari limbai langkahnya 
mencari ayah bertanyakan guru.  ....    .....    ....."

Demikianlah cara orang dahulu kala menyampaikan pengajaran. Jauh sindirannya tetapi berlapis dan mendalam maksudnya. Wau yang hebat dengan hiasan keemasan (lambang nafsu) kalau sudah dilambung menocang bermain angin menyentak terajunya dan meregangkan talinya meluncur naik sampai keparas angin atas (baru dilambung sudah melompat awan). 

Keterlaluanlah angkuhnya (nyaring siul membabas busur) dengan gaya yang keterlaluan (lenggok menyentak lenggang meregang). Sehingga pengemudinya pun menjadi nanar (iring juara karak tak lekat). Maka kemanalah akan di ikat (maka diikat pada batu, batu pecah; diikat juga pada pokok, pokok tercabut; diikat juga pada bukit, bukit runtuh, diikat pada gunung, gunung pun rebis). 

Maka tiadalah tambatan lain lagi yang mampu menjinakkan keghairahan itu melainkan pada diri yang menggunakan pertimbangan akal yang seimbang jalar dengan budi bahasa yang halus serta kemas cermatnya. Baharulah turun keghairahan nafsu itu keparas wajar (mencari ayah bertanyakan guru) Maksud ini digambarkan dengan rupa rumput gelang sambal yang jarang pelepah dan daunnya tetapi lebih lebat akarnya dengan serabut akar rambut yang halus tetapi penoh serabutnya. Baharulah


Apalagi kalau diperhatikan betul betul bentuk akar rumput gelang sambal ini; keliling umbinya penoh dengan akar kasar (akar tunjang belaka) tetapi serabutnya penoh seperti kapas. Inilah juga sebabnya ia selalu digunakan oleh orang Melayu untuk merenjiskan tepong tawar atau air penawar dalam proses perubatan terutamanay kejiwaan.

Wallahhuaalam.