Ahad, 1 November 2009

Jangan Sak Sebak Lugar Mual ..... ..... ..... .....

Hamba tertarik dengan seruan Panglima Perang Cyber yang manyarankan kita semua mengamati tulisan Azli Shukri dan seterusnya ikut menyebarkannya. Dalam menyatakan persetujuan hamba dengan seruan itu dibawah ini hamba salinkan beberapa potongan daripada mereka berdua. 

Maaf hamba ambil potongan potongan sahaja. Namun untuk membaca teks penoh pembaca masih boleh masuk ke laman laman berkenaan sendiri. Semuga sedutan ini berguna dan menarik serta memudahkan pembaca yang punya masa terhad serta mampu menghurai sendiri dari apa yang dibaca. Sedutan dari laman Panglima Perang Cyber hamba tanda dengan latarbelakang merah jambu dan sedutan dari tulisan asal Azli Shukri hamba tandakan dengan latar belakang biru muda untuk kemudahan dan keselesaan pembaca.


Isu Ulama yang jahat atau Ulama Suu' ini jarang diperdebatkan. Ia secara halus telah ditampal pada diri ulama yang bekerja dengan kerajaan. Dalam ucapan, tulisan dan juga perbuatan pemimpin pembangkang, otak mereka hanya mengiktiraf ulama yang menyokong perjuangan mereka atau yang bernama Nik Aziz dan Haji Hadi sahaja. Tidak termasuk Mat Sabu kerana dia pernah ditahan khalwat di Hotel Perdana...Walhal takrifan 'jahat' tidak semestinya bergantung kepada 'terma' bekerja dengan kerajaan. Kerana ia bergantung kepada amalan bukan 'nama' pekerjaan.
 
Dalam bab agama tidak dapat tidak kerajaan sememangya memerlukan pandangan dan nasihat ahli agama. Taraf ilmuan dan mahir dalam bidang yang diperlukan oleh kerajaan. Maka tugas mereka diganjari dengan gaji yang dikutip dari hasil pendapatan negara. Sama seperti tugas-tugas lain yang dibuat oleh Penjawat Awam di mana mana organisasi awam atau jabatan. Apakah pernah ada alim ulama kerajaan mengeluarkan fatwa halal arak dan judi serta pelacuran di negara kita kerana diberi wang dan jawatan ? Tidak sama sekali !!!!!!

 
Tidak timbul dalam hal ini ahli agama dirasuah dengan wang untuk menjustifikasikan perbuatan kerajaan. Bahkan dalam senario sekarang, Kerajaan memandang tinggi golongan agama ini yang menjadi penasihat dalam memberi pandangan berhubung isu agama yang tidak diketahui oleh semua orang. Buktinya Penasihat Agama Perdana Menteri adalah satu jawatan rasmi yang diketahui umum dan membuktikan keseriusan negara dalam mengangkat martabat ulama namun sengaja didiamkan oleh mereka. Ini bertujuan agar PAS sahaja dilihat lebih beragama dan supaya rakyat tetap memandang kerajaan kita cenderung kepada kejahatan dan menolak nasihat alim ulama dalam menerajui Kerajaan. Juga lihat di Negeri Sembilan, Mufti diberikan kedudukan istimewa hingga berstatus Exco.

 
Adakah ia berlaku di negeri Serambi Mekah ( juga negeri kelahiran saya ) ? Tidak.
Kenapa ? Anda tentu lebih tahu sebabnya.

 
Maka saya sangat menyokong artikel tulisan Blogger Azli Shukri ini diulang-ulang sekali seminggu dalam blog kita.

 
Kerana mesej ini sangat jelas dan perlu ditatap oleh semua ahli PAS agar mereka tidak lagi terpedaya dengan permainan politik berlatarbelakangkan agama.

Hal ini pernah diisyaratkan oleh sabda baginda: "Celakalah bagi umatku (akibat) daripada (perbuatan) ulama-us su'.'' (Riwayat al-Hakim). Sabdanya lagi "Seburuk-buruk sesuatu daripada yang paling buruk ialah ulama yang buruk dan sebaik-baik sesuatu daripada yang paling baik ialah ulama yang baik.'' (Riwayat Ad-Darimi). Masyarakat akan musnah dan rosak apabila ulama-us su' dijadikan imam untuk diikuti serta dipercayai. Oleh itu, masyarakat awam harus mengetahui perbezaan antara ulama-us su' dengan ulama yang mewarisi ilmu para nabi.

Dua ciri ulama us-su' yang paling berbahaya dalam masyarakat kita pada hari ini, ialah: Ulama us-su' yang menyesatkan orang ramai dan kedua, ulama-us su' yang menjadi tukang fitnah. Golongan pertama menyesatkan orang ramai dengan fatwa-fatwa mereka yang salah. Oleh kerana mereka orang-orang yang dipercayai, maka apa-apa sahaja yang mereka katakan, akan dianggap sebagai pedoman serta menjadi pegangan dalam masyarakat. Namun demikian , sebenarnya mereka mengeluarkan pendapat atau fatwa yang mengelirukan. Apa-apa yang sebenarnya "haram" menurut Allah dikatakan "halal", dan sebaliknya apa-apa yang halal menurut Allah di "haram" kan pula.

Bagi masyarakat awam yang jahil pula akan mudah percaya dan terpesona dengan gelagat ulama-ulama-us su' ini. Kesannya, masyarakat akan hidup dalam kesesatan dan kehancuran. Ulama-us su' tidak hanya terdapat dalam agama Islam, bahkan ulama seperti ini pernah merosakkan masyarakat Yahudi serta Nasrani seperti yang pernah diceritakan oleh seorang sahabat nabi bernama Ady bin Hatim.

"Aku pernah datang kepada Rasulullah SAW, dan pada leherku tergantung sebuah salib yang diperbuat daripada emas, Rasulullah SAW bersabda kepadaku "Wahai `Ady lemparkanlah berhala ini (salib).'' Kemudian baginda membaca ayat ini:"Mereka menjadikan orang-orang alim (ulama-ulama atau ketua-ketua agama) dan pendeta-pendeta mereka sebagai tuhan-tuhan selain Allah." (At-Taubah: 31). Maka saya bertanya: "Wahai Rasulullah, mereka itu tidak menyembah ulama-ulama dan pendeta-pendeta mereka itu."Nabi pun bertanya: "Bukankah para ketua agama dan para pendeta itu menghalalkan bagi mereka terhadap barang yang diharamkan oleh Allah? Maka kemudian mereka (pengikut) ikut menganggap halal, dan para ketua agama dan para pendeta itu mengharamkan bagi mereka terhadap barang yang dihalalkan oleh Allah, maka kemudian mereka ikut menganggap haram?'' Saya menjawab "Betul ya Rasulullah.'' Maka baginda pun menjawab: "Demikian itulah yang di namakan ibadah (menyembah ) kepada mereka.''

Ulama-us su' kedua, ialah ulama yang menjadi penyebar fitnah. Rasulullah pernah bersabda: "Akan datang suatu zaman di mana agama Islam hanya tinggal namanya sahaja, dan al-Quran pula hanya tinggal huruf dan tulisannya. Masjid-masjidnya cantik dan megah, tetapi sunyi daripada petunjuk. Ulama mereka adalah manusia yang paling jahat di antara yang ada di bawah langit. Daripada para ulama ini muncul bermacam-macam fitnah dan (fitnah itu) kembali ke dalam lingkungan mereka.'' (Riwayat Baihaqi ).

Ulama jenis ini merupakan golongan ulama yang paling berbahaya sekali. Hal ini kerana, ia bukan hanya memporak perandakan masyarakat semata-mata, tetapi turut sama mencemarkan nama serta imej institusi ulama itu sendiri. Kesannya, Masyarakat akan hilang hormat serta memandang rendah kepada ulama-ulama lain yang ikhlas dalam perjuangan mereka.

Ulama tukang pembawa fitnah ini, tidak hanya menabur fitnah semata-mata tetapi lebih daripada itu, kadang kala dia sanggup membuka aib serta keburukan orang lain di hadapan khalayak ramai. Sedangkan Allah telah mengingatkan kita dengan firman-Nya: "Sesungguhnya orang-orang yang suka agar tersebar keburukan dalam kalangan orang-orang beriman, bagi mereka adalah azab yang pedih di dunia dan di akhirat. Dan Allah mengetahui (segala perkara), sedang kamu tidak mengetahui.'' (An-Nur: 19). Inilah janji Allah kepada mereka yang suka menabur fitnah.

Fitnah yang dilakukan oleh ulama-us su' ini adalah lebih bahaya daripada fitnah yang dilakukan oleh masyarakat awam. Hal ini kerana golongan ulama lebih mudah dipercayai orang ramai, kerana mereka berselindung di sebalik pakaian ala-ulama serta ucapan mereka juga dicampur-adukkan dengan ayat al-Quran serta hadis nabi.

Islam sebenarnya telah memberi garis panduan menghadapi golongan semacam ini antaranya: Pesanan serta ingatan daripada firman Allah "Hai orang-orang beriman, jika datang kepadamu orang fasiq membawa suatu berita, maka periksalah dengan teliti agar kamu tidak menimpakan suatu musibah kepada suatu kaum tanpa mengetahui keadaannya yang menyebabkan kamu menyesal di atas perbuatanmu itu.'' (Al-Hujurat: 6 ). Dan "Maka bertanyalah kamu semua kepada orang yang mempunyai pengetahuan jika kamu tidak mengetahui.'' (An-Nahl: 43).

Kesimpulannya, ulama-us su' yang suka mencetuskan fitnah serta gemar memberi fatwa-fatwa yang sesat adalah amat berbahaya kepada masyarakat. Maka tidak hairanlah mengapa Rasulullah mendakwa bahawa ulama-us su' merupakan sejahat-jahat manusia sebagaimana kisah ini. Seorang lelaki bertanya kepada Rasulullah, "Ya Rasulullah, siapakah manusia yang paling buruk atau jahat?'' Rasulullah menjawab, "Ya Allah, hapuskanlah dosa-dosa kami. Bertanyalah kamu daripada hal-hal kebaikan dan janganlah bertanya daripada hal kejahatan. (Ketahuilah) Sejahat-jahat manusia itu, ialah seburuk-buruk ulama di tengah-tengah manusia.''(Riwayat al-Bazzar).

Dan benarlah juga pesanan yang diutarakan oleh Mu'az bin Jabal "Hendaklah kamu berhati-hati dan takut terhadap tergelincirnya seorang alim kerana kedudukannya yang agung di sisi orang ramai. Kemudian orang ramai itu ikut sama tergelincir dengannya.''

Ditulis Oleh Muhammad Azli Shukri di www.Azlishukri.blogspot.com



Maka seterusnya hamba pun inginlah berpesan kepada semua orang Islam khususnya mereka yang mungkin berkenaan (wallahhuaallam). Dalam menghadapi kecelaruan yang dilontarkan terhadap kita kini hendaknya janganlah kita sampai menjadi :

Sak
Sebak
Lugar
Mual
Babuk
Bikun
Pening
Relu
Gila
Spera.
Kerana yang demikian boleh melemahkan umat sehingga menjadi tidak mampu mempertahankan negara dan sekaligus tambah melemahkan 
UGAMA.

Tiada ulasan: