Sajak adalah kehidupan hamba. Tetapi tulisan berbentuk sajak akan hamba muatkan di laman Penyair Dari Gunung. Kali ini hamba nak tulis dalam bentuk prosa. Cetusan rangsang yang mendorong keinginan untuk menghasilkan tulisan ini dihasilkan oleh pandangan dari sahabat blogger bernama Arif Omar yang telah membuat komen di laman Penyair Dari Gunung. Mohon maaf kepada semua sahabat yang biasa mengikuti kedua dua laman kerana terganggu oleh perpindahan ini.
Hamba sebenarnya telah berhenti memberi izin untuk sebarang tulisan hamba diterbitkan di mana mana media cetak. Puncanya ialah kerana hamba tidak senang dengan hasil dapatan dari komunikasi satu hala. Bahasa hamba begitu rupa sehingga kadang kadang sukar difahami dan hamba pula biasanya terlalu cermat dalam memilih istilah yang hendak digunapakai. (Mungkin kerana latihan hamba di bawah tunjuk ajar Mohd Affandi Hassan, seorang pengkeritik sastera yang cukup tajam aktif di tahun tahun 60an dan 70an dahulu.)
Kadang kadang maksud yang hendak disampaikan tidak tercapai. Orang faham secara mereka faham dan nak faham. Tidak mengapa begitu kerana demikian itu adalah hak mereka. Namun ramai juga kawan kawan yang fahamannya tersasul dari hasrat yang hendak disampaikan. Tidak mengapa juga begitu, kerana itu adalah hak mereka. Tetapi atas nama kawan; tegorlah. Atau berilah pandangan ikhlah dan proffessional secara berhadapan atau di media. Berilah peluang pula kepada hamba untuk membuat penjelasan kerana itu adalah tanggong jawab hamba.
Kadang kadang dalam tulisan hamba itu (tidak kira apa pun tajuknya) ada sangkut kait secara bayang bayangan dengan ilmu ugama atau unsur ketuhanan. Kalau bahagian bahagian itu ukut disalah faham dan tersilap saran serta serang. Parahlah hamba. Ada orang sudah menjadi salah faham dan hamba menjadi puncanya. Lagi menakutkan kalau kesempatan untuk membetulkan ternapikan pula. Hamba namakan keadaan yang tercetus itu sebagai "dosa jariah" dan hamba sekali kali tidak rela untuk tersangkut dengan apa cara sekali pun. Hasil dari dosa jariah itu berdarab diluar dari kemampuan untuk dihisabkan.
Pernah beberapa kali hamba terdorong untuk memikirkan semula keputusan tidak mengizinkan tulisan hamba tersiarkan dimedia itu. Malahan cetusan paling mempengaruhi ialah dari Bapak H. B. Jassin, penulis Indinesia yang pernah menerbitkan tafsir Quraan dalam bentuk puisi. "Bapak punya idealisma yang besar dan tersendiri itu, siapa akan berusaha mengembangkan ia....." demikian perkataan beliau yang masih hamba ingat. Peristiwa itu berlaku dalam sekitar 1984 dikanturn beliau sendiri di Taman Ismail Marzuki. Semenjak itu fikiran hamba selalu kembali untuk mencari pertimbangan semula, tetapi hamba tidak mempunyai kekuatan serta masa untuk kembali menulis.
Hamba telah berhenti dari perkhidmatan kerajaan semenjak April 1983 dan tidak ramai kenalan berkaitan lagi selepas itu. Dorongan dan galakan untuk menulis sudah menjadi tiada dan laman untuk menjadi medan meletakkan tulisan pun kena dengan sengaja diburu kalau hamba masih mahu. Apa lagi hamba menjadi sibuk dengan perniagaan sendiri selepas berhenti dari jawatan kerajaan .
Tahun 1997 hamba telah menamatkan semua perniagaan untuk memberi tumpuan kepada kerja kerja membantu bangsa mempertahankan keselamatan negara yang pada hamba sudah menjadi terlalu parah. Masuk tahun 1999 oleh kerana dana yang ada pada hamba dan seorang lagi sahabat yang sama sama terlibat telah kering. Hamba membuat keputusan untuk pulang ke kampong menjaga kebun kebun pesaka yang lama terbiar.
Sempat juga 5 atau 6 bulan hidup seperti orang sudah lari masuk hutan sambil sekali dua dalam seminggu menjelajah seluruh Terengganu untuk mengetahui perkembangan politik dan mencari kesempatan untuk menyalur maklumat yang masih lagi diterima melalui kawan kawan di Kuala Lumpur.
Semenjak 1999 sehingga kini hamba dianugerahkan oleh Allah dengan nikmat mendapat ruang melalui beberapa NGO dll. untuk bergerak dan menyumbang kepada kerja kerja cuba menyelamatkan negara dari ancaman yang sedang menjadi bertambah parah ini. Dalam tempoh itu hamba mendapat banyak kesempatan untuk menbacakan sajak sajak yang ditulis kepada anak anak muda. Ini bermakna kebanyakan daripada tulisan itu adalah membawa suratan petriotik. Adalah juga beberapa kali hamba mendapat kesempatan untuk membaca sajak sajak itu bersama para pemimpin negara dalam upacara upacara sambutan kemerdekaan.
Dalam proses yang lama itu memang ramai kawan kawan secara bersahaja memberi dorongan untuk hamba mengantologikan himpunan sajak sajak yang sudah terkumpul. Masaalah hamba ialah setiap kali komputer menghadapi masaalah dan rusak ia jadi terbuang terus bersama dengan isi isinya sekali. Perkara ini mudah terjadi kerana hamba juga ada berpegang kepada satu keyakinan terlampau iaitu "segala yang terbit dari hamba tentulah ada ia tersimpan dalam ingatan" Dengan sikap itu maka kandungan sajak sajak dalam komputer komputer lama memang hilang begitu sahaja.
Tetapi dengan dorongan dari kawan kawan dan yang terbaru ini dari saudar Arif Omar yang baru hamba kenali di maya ini sahaja; inshaallah akan diusahakan sebuah antologi awal daripada himpunan yang masih ada serta yang akan ditulis. Semuga kawan kawan yang bersetuju dengan hasrat ini barangkali boleh juga menyumbang dengan selalu selalulah menyumbangkan cetusan cetusan untuk mendesak hamba supaya berfikir lebih jauh dan mendalam lagi mengenai segala sesuatu di kedua laman ini. Inshaallah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan