Demikian besar dan hebatnya rahmat Allah kepada kita umat manusia, kalau kita mengerti dan memahami. Namun terlalu banyak perlu kita kaji rahsianya. Begitu berlapis tersirat dicelah celah lapis lapis yang begitu mendalam disebalik segala yang jelas tampak pada nyata kulit dan luaran ketara ini.
Akan hamba sentuh serba sedikit mengenai lima deria yang tercatat dalam tulisan terdahulu (diulangi di sini):
- Deria Dengar / Bunyi.
- Deria Hidu / Bau.
- Deria Kecap / (selalu diistilahkan sebagai deria rasa yang tidak senang hamba gunakan kerana hamba memilih untuk menggunakan istilah itu bagi peringkat yang lain)
- Deria Raba / sentuh.
- Deria Tampak / Pandang.
Kita jarang menyedari hubungan itu: malahan kita barangkali tidak dapat memberi rasional pun kepada kepentingannya. Kerana itu kita tidak pernah terfikir untuk memberi perhatian padanya. Padahal sebagai orang Islam kita selalu melalui latihan khusus dalam proses menajam serta memberi imbangan kepada deria dengar itu.
Betapa waktu bersolat kita dianjurkan melaksanakan bacaan bacaan sehingga kedengaran kepada kita sendiri. "Dengar" disini dihurai oleh ustaz hamba sebagai ada dua cara iaitu:
- dengar pada telinga dan
- dengar pada hati.
Kita terlepas daripada memberi perhatian kepada peri pentingnya deria dengar itu dilatih dan didesiplinkan. Kita tidak pernah memberi perhatian untuk melatih deria dengar kita yang ada rangkai hubung (talian komunikasi) langsung dengan hati, perasaan dan emosi. Betapa, sehingga khusuk pun menjadi mudah terganggu oleh gangguan bunyi yang sedikit.
Disatu pihak lain ramai antara kita tidak pernah terfikir pun bahawa bunyi bunyi yang terbit dari kita boleh mengakibatkan gangguan kepada orang lain kerana kita tidak sedar atau tidak disedarkan betapa pentingnya ia dalam komunikasi diri dengan diri dalam diri.
Bunyi / pendengaran adalah alat komunikasi manusia dengan manusia yang paling penting. Tetapi pernahkah kita beri perhatian dalam latihan pengeluaran bunyi dan menganggap ia sebagai keperluan kepada kehidupan. Padahal ia adalah kelengkapan yang sekaligus berguna untuk meluruskan perjalanan kita dalam menuju akhirat.
Kalau ada anak anak kita cuba mencari peluang untuk latihan vokal misalnya. Kita pun memandang kerja itu sebagai tidak baik kerana latihan vokal adalah latihan yang selalu dilalui oleh orang orang yang berhasrat untuk terjun kedunia hiburan. Padahal latihan membaca Quraan juga melalui proses latihan menghalusi ketepatan sebutan (pengeluaran bunyi).
Kita belum lagi berbincang mengenai imbangan dan keadilan. Pernahkah kita perhatikan sejauh mana kita masih mampu mendengar dengan berkesan semasa kita sedang bercakap dengan komitmen yang tinggi pada otak fikir sambil mata pula sedang melihat sesuatu yang menarik. Semuanya menggunakan saraf hubungan serta keberkesanan / kecekapan menganalisa bahagian tertentu otak. Seharusnya kita masih mampu, kalau deria deria kita mampu berperanan (berfungsi) secara bebas dan adil.
Bebas itu bermaksud tumpuan (fokus) kepada peranan deria serta otak olah (analisa) yang lain tidak menghalang deria dengar serta saraf dan otak olah bunyi kita.
Adil itu maksudnya janganlah kerana sedang memberi tumpuan kepada satu atau dua kerja lain kita abaikan maklumat terkutip oleh deria dengar.
Bayangkan kalau satu masa sedang kita tertambat dengan dua atau tiga tumpuan deria dan otak olah; tiba tiba deria dengar mengutip satu maklumat yang menuntut tindakan serta merta tanpa sesaat pun dilengahkan. Apa jadi.
Kecekapan ini boleh berlaku kalau dalam hidup seharian, kita selalu beri perhatian pada permasaalahannya dan seterusnya mengakui bahawa kita perlu melatih kecekapan deria kita. Perhatian itu adalah satu tubi latih praktis berterusan.
Banyak lagi perincian yang belum sempat hamba catat. Cuma catatan ini sudah terlalu panjang. Sedangkan hamba masih ada satu perkara lagi yang rasanya terlalu penting sekaligus dicatat juga disini.
Sikap kita mengenai fahaman kita sendiri tentang sesuatu. Ramai orang apabila sudah ada fahaman mengenai sesuatu perkara, akan sukarelalah ia enggan mendengar pandangan yang melihat dari sudut (perspektif) yang lain; pandangan yang berbeza
Ini adalah tahap mendengar pada paras yang lebih mendalam. Tahap pendengaran minda. Rupanya pendengar yang baik itu juga adalah orang yang terbuka fikirannya. Tidakkah pernah kita terfikir betapa susahnya mencari, mengutip, mengumpul, mengolah dan menganalisa maklumat untuk mendapat pengetahuan terbaik bagi menerbitkan ilmu dari dadarasa kita yang paling lohor. Betapa bagusnya kalau ada pihak lain sudi sukarela membantu. Lebih mudahlah kita membina rumus yang lebih bijak.
Akhirnya mohon pandangan, tegoran, soalan, bantahan atau apa sahaja untuk mencetuskan pemikiran lebih jauh lagi. Semuga perkongsian ini boleh memberi manfaat kepada umat manusia dan kemanusiaan untuk menghadapi cabaran memikul amanah memakmurkan.
Akan disambung bila hamba rasa sudah bersedia.
Terima kasih.
Wallahuaalam.
Akan disambung bila hamba rasa sudah bersedia.
Terima kasih.
Wallahuaalam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan