Ahad, 27 September 2009

Hidayah Allah bagi hati hati yang suci.


Dalam ramai lagi ahli keluarga dan kawan belum menghabiskan cuti hari raya seorang saudara hamba telah menerima panggilan Illahi. Masaalah jantung. Sebagai seorang pesara kerajaan persekutuan beliau tinggal di KL dan disimpan di KL juga setelah dibawa pulang dari IJN.  Alhamdulillah semua urusan berjalan lancar. Hamba pun terpaksa terburu buru pulang ke KL dari kampung.

Itu cerita biasa dan tiada yang menarik pun. Cuma siang tadi hamba telah menerima satu panggilan telipon dari nombor yang tidak dikenali. Yang memanggil memberi salam dan terus memulakan mukaddimahnya. Suara itu seperti biasa hamba dengar. Tetapi memang hamba tidak ingat siapa orangnya.

Beliau bercerita bagaimana beliau menghantar anak bongsunya untuk menaiki bas dari pekan kecil di kampong hamba kerana hendak ke KL. Tiketnya baru dibeli dan semasa membeli tiket itu beliau terringan mulut untuk bertanya berapa lagi ada tempat kosong. Masih ada dua. Tiba tiba beliau telah membeli kedua dua tiket itu.

Setelah diberitahu isteri dan anak-anaknya terkejut dan tergamam.

"Untuk siapa ?" tanya isterinya terkejut.

"Sayalah." jawabnya selamba

Habis anak beranak terkejut kerana tidak pernah disebut atau terbayang yang si ayah akan ikut sama ke KL.

"Tak apalah saya pergi sama, takut ada apa apa nanti, kalau saya ada sama senang sikit." Jawabnya masih selamba.
 
Dipendekkan cerita berangkatlah kawan itu ke KL mengiringi anaknya yang memang ada temu duga sambil nak menziarahi kakaknya di Subang Jaya. Sampai di Stesyen Putera dan setelah berehat mengumpulkan tenaga sambil menunggu dijemput oleh anak perempuannya beliau telah terserempak dengan Umar seorang kawan lama.

"Kenapa baru sampai. Kawan kawan rapat yang lain dah sempat tahlil malam tadi dah." Umar bertanya spontan.

Kawan itu pun menjadi lebih terkejut daripada isterinya ketika mendapati beliau akan mengiringi anak bongsu mereka pada malamnya. Setelah beberapa ketika barulah sempat kawan itu mengumpul semangat untuk bertanya;

"Siapa ?"

Umar baru sedar rupanya Mahmud kawan lamanya itu belum mendapat cerita mengenai kematian Rahim. Mereka semua memang kawan baik semenjak di MPSI dan sama sama pula menyambung pelajaran di UM dalam tahun 70an dahulu.

Semasa Umar menceritakan mengenai kematian Rahim dan kawan kawan dari seluruh negara yang sempat menyertai majlis tahlil malam pertama itu anak perempuan Mahmud pun sampai. Melihatkan muka ayahnya yang sedang sebah dengan mata yang basah dan merah itu beliau tidak terkata dan terus terpaksa bersetuju menghantarnya ke Damansara walau pun beliau ada janji penting dengan seorang kawan.

Setelah pulang ke rumah anak perempuannya itu Mahmud terus menghubungi hamba melalui nombor yang baru diperolehi dari anak kepada saudara hamba yang meninggal itu. Hamba pun bersetuju untuk menjemput beliau bagi sama sama menghadhiri majlis tahlil yang baru sahaja selesai.

Ada perkara menarik yang hamba nak kongsikan dengan semua orang mengenai Mahmud dengan Allahyarham Rahim ini. Cuba kita perhatikan betapa tidak terduganya dia membuat keputusan spontan membeli tiket untuk ke KL bersama anak bongsunya. Tak semena mena juga Umar yang hendak ke Pulau Pinang teringat untuk mendapatkan seseorang yang katanya mungkin ada di Stesyen Putera pada pagi itu.

Rupanya hubungan ikhlas antara manusia dengan manusia ada yang boleh diistilahkan dengan kata kata talian roh yang boleh berlaku kepada hati hati yang luhor serta pegangan keyakinan yang murni.

Bila ia berlaku kepada seseorang kadang kadang ia tidak disedari. Maka nikmat daripada hidayah Allah itu hanyut begitu sahaja. Barangkali kalau mengikut istilah barat ia boleh dipanggil deria keenam.  Ia boleh berlaku kalau kita pandai memberi perhatian seimbang dan luhur terhadap kehadhirannya. 

Demikian pekerjaan Tuhan yang menerima hubungan hati hati yang suci keikhlasannya. Tuhan merestukan hidayahnya. Demikian mulianya hati hati yang suci ikhlas disisi Tuhan.

ALLAH HUAKBAR.

Ahad, 13 September 2009

PROSAJAK

Sajak adalah kehidupan hamba. Tetapi tulisan berbentuk sajak akan hamba muatkan di laman Penyair Dari Gunung. Kali ini hamba nak tulis dalam bentuk prosa. Cetusan rangsang yang mendorong keinginan untuk menghasilkan tulisan ini dihasilkan oleh pandangan dari sahabat blogger bernama Arif  Omar yang telah membuat komen di laman Penyair Dari Gunung. Mohon maaf kepada semua sahabat yang biasa mengikuti kedua dua laman kerana terganggu oleh perpindahan ini.
Hamba sebenarnya telah berhenti memberi izin untuk sebarang tulisan hamba diterbitkan di mana mana media cetak. Puncanya ialah kerana hamba tidak senang dengan hasil dapatan dari komunikasi satu hala. Bahasa hamba begitu rupa sehingga kadang kadang sukar difahami dan hamba pula  biasanya terlalu cermat dalam memilih istilah yang hendak digunapakai. (Mungkin kerana latihan hamba di bawah tunjuk ajar Mohd Affandi Hassan, seorang pengkeritik sastera yang cukup tajam aktif di tahun tahun 60an dan 70an dahulu.)
Kadang kadang maksud yang hendak disampaikan tidak tercapai. Orang faham secara mereka faham dan nak faham. Tidak mengapa begitu kerana demikian itu adalah hak mereka. Namun ramai juga kawan kawan yang fahamannya tersasul dari hasrat yang hendak disampaikan. Tidak mengapa juga begitu, kerana itu adalah hak mereka. Tetapi atas nama kawan; tegorlah. Atau berilah pandangan ikhlah dan proffessional secara berhadapan atau di media. Berilah peluang pula kepada hamba untuk membuat penjelasan kerana itu adalah tanggong jawab hamba. 
Kadang kadang dalam tulisan hamba itu (tidak kira apa pun tajuknya) ada sangkut kait secara bayang bayangan dengan ilmu ugama atau unsur ketuhanan. Kalau bahagian bahagian itu ukut disalah faham dan tersilap saran serta serang. Parahlah hamba. Ada orang sudah menjadi salah faham dan hamba menjadi puncanya. Lagi menakutkan kalau kesempatan untuk membetulkan ternapikan pula. Hamba namakan keadaan yang tercetus itu sebagai "dosa jariah" dan hamba sekali kali tidak rela untuk tersangkut dengan apa cara sekali pun. Hasil dari dosa jariah itu berdarab diluar dari kemampuan untuk dihisabkan. 
Pernah beberapa kali hamba terdorong untuk memikirkan semula keputusan  tidak mengizinkan tulisan hamba  tersiarkan dimedia itu. Malahan cetusan paling mempengaruhi ialah dari Bapak H. B. Jassin, penulis Indinesia yang pernah menerbitkan tafsir Quraan dalam bentuk puisi. "Bapak punya idealisma yang besar dan tersendiri itu, siapa akan berusaha mengembangkan ia....." demikian perkataan beliau yang masih hamba ingat. Peristiwa itu berlaku dalam sekitar 1984 dikanturn beliau sendiri di Taman Ismail Marzuki. Semenjak itu fikiran hamba selalu kembali untuk mencari pertimbangan semula, tetapi hamba tidak mempunyai kekuatan serta masa untuk kembali menulis. 
Hamba telah berhenti dari perkhidmatan kerajaan semenjak April 1983 dan tidak ramai kenalan berkaitan lagi selepas itu.  Dorongan dan galakan untuk menulis sudah menjadi tiada dan laman untuk menjadi medan meletakkan tulisan pun kena dengan  sengaja diburu kalau hamba masih mahu. Apa lagi hamba menjadi sibuk dengan perniagaan sendiri selepas berhenti  dari jawatan kerajaan . 
Tahun 1997 hamba telah menamatkan semua perniagaan untuk memberi tumpuan kepada  kerja kerja membantu bangsa mempertahankan keselamatan negara yang pada hamba sudah menjadi terlalu parah.  Masuk tahun 1999 oleh kerana dana yang ada pada hamba dan seorang lagi sahabat yang sama sama terlibat telah kering. Hamba membuat keputusan untuk pulang ke kampong menjaga kebun kebun pesaka yang  lama terbiar. 
Sempat juga 5 atau 6 bulan hidup seperti orang sudah lari masuk hutan sambil sekali dua dalam seminggu menjelajah seluruh Terengganu untuk mengetahui perkembangan politik dan mencari kesempatan untuk menyalur maklumat yang masih lagi diterima melalui kawan kawan di Kuala Lumpur. 
Semenjak 1999 sehingga kini hamba dianugerahkan oleh Allah dengan nikmat mendapat ruang melalui beberapa NGO dll. untuk bergerak dan menyumbang  kepada kerja kerja cuba menyelamatkan negara dari ancaman yang sedang menjadi bertambah  parah ini. Dalam tempoh itu hamba mendapat banyak kesempatan untuk menbacakan sajak sajak yang ditulis kepada anak anak muda. Ini bermakna kebanyakan daripada tulisan itu adalah membawa suratan petriotik. Adalah juga beberapa kali hamba mendapat kesempatan untuk membaca sajak sajak itu bersama para pemimpin negara dalam upacara upacara sambutan kemerdekaan. 
Dalam proses yang lama itu memang ramai kawan kawan secara bersahaja memberi dorongan untuk hamba mengantologikan himpunan sajak sajak yang sudah terkumpul. Masaalah hamba ialah setiap kali komputer menghadapi masaalah dan rusak ia jadi terbuang terus bersama dengan isi isinya sekali. Perkara ini mudah terjadi kerana hamba juga ada berpegang kepada satu keyakinan terlampau iaitu "segala yang terbit dari hamba tentulah ada ia tersimpan dalam ingatan" Dengan sikap itu maka kandungan sajak sajak dalam komputer komputer lama memang hilang begitu sahaja. 
Tetapi dengan dorongan dari kawan kawan dan yang terbaru ini dari saudar Arif Omar yang baru hamba kenali di maya ini sahaja; inshaallah akan diusahakan sebuah antologi awal daripada himpunan yang masih ada serta yang akan ditulis. Semuga kawan kawan yang bersetuju dengan hasrat ini barangkali boleh juga menyumbang dengan selalu selalulah menyumbangkan cetusan cetusan untuk mendesak hamba supaya berfikir lebih jauh dan mendalam lagi mengenai segala sesuatu di kedua laman ini. Inshaallah.  

Sabtu, 12 September 2009

Himpunan Antara Kita Semalam.

Hamba tak pasti apakah kesan yang dibawa pulang oleh setiap orang sahabat dari perhimpunan antara kita semalam. Cuma bagi hamba bilangan seramai semalam yang sekaligus merangkai kait berbagai peringkat usia adalah suatu kenangan yang patut kita ulang ulang dari semasa ke semasa.

Apabila keluarga menjadi besar tentulah berbagai sulam bunga bertekat menganyam jalin berbagai kelainan. Namun selagi kelainan itu kita terima sebagai lumrah dalam proses membina keindahan kita tetap terhindar dari perit membekam rasa.

Gambaran yang sudah berjaya kita tunjukkan secara zahir dalam permesuaratan kita semalam adalah satu gambaran yang cukup memberangsangkan. Kita sebenar2 adalah bersaudara dalam keluarga yang besar.

Hamba membuat catatan ini dengan tujuan untuk merakamkan harapan supaya semangat yang telah berjaya kita tunjukkan semalam adalah benar dan tetap benar dalam penganutan generasi lapis lapis terkemudian.

Semuga catatan ini menjadi kenangan kepada mereka untuk diambil contoh iktibar bagi diamalkan berterusan kerana seperti yang kita sama sama tahu cabaran cabaran dimasa masa akan datang sudah akan bertukar menjadi ancaman yang kena kita hadapi.

Maka bersedua bersetialah kita tanpa sebarang gores calar tersemat simpan dalam dadarasa atau otakingat. Inshaallah.

Jumaat, 11 September 2009

Keseimbangan Dalam Solat.

Betapa dalam solat, kita kena baca Al Fatihah sebagai satu rukun. Sebagai rukun ia tidak boleh ketinggalan dan sebaiknya sesempurna mungkin. Namun dalam masa yang sama kita masih kena beri perhatian kepada surah yang sedang dibacakan oleh imam yang kebetulan juga adalah seorang hafiz yang membaca dengan petah, terang dan jelas. Betapa lunak, menarik dan indahnya bacaan imam yang sedang memimpin jumaah yang ramai itu. Betapa keseimbangan yang perlu menjadi riadhah bertubi dari ikhlas penghayatan kita. Betapa.........

Khamis, 10 September 2009

Keseimbangan Deria Manusia

Dah sampai rasanya masa untuk hamba melanjutkan sedikit lagi pembentangan mengenai deria manusia sebagai suatu anugerah Allah untuk menjadi alat bagi manusia dalam memikul amanah memakmurkan alam serta hidupan dan kehidupan yang juga merupakan anugerah dari Allah.

Demikian besar dan hebatnya rahmat Allah kepada kita umat manusia, kalau kita mengerti dan memahami. Namun terlalu banyak perlu kita kaji rahsianya. Begitu berlapis tersirat dicelah celah lapis lapis yang begitu mendalam disebalik segala yang jelas tampak pada nyata kulit dan luaran ketara ini.

Akan hamba sentuh serba sedikit mengenai lima deria yang tercatat dalam tulisan terdahulu (diulangi di sini):
  1. Deria Dengar / Bunyi.
  2. Deria Hidu / Bau.
  3. Deria Kecap / (selalu diistilahkan sebagai deria rasa yang tidak senang hamba gunakan kerana hamba memilih untuk menggunakan istilah itu bagi peringkat yang lain)
  4. Deria Raba / sentuh.
  5. Deria Tampak / Pandang.
Kita mulakan dengan deria dengar. Pernahkah disebut orang; "dari bunyi menusuk kehati." Barangkali tak pernah kita dengar. Ahli mentera pernah mengucapkan; "nyaring serunai menikam /menusuk hati / kalbu, merdu rebab mengulit / mendayu asik, dentum /dengong gendang menggerak jaga mengorak langkah." Dari situ hamba memahami betapa rapat eratnya hubungan bunyi yang didengari dengan gerak jaga hati, perasaan (emosi) dan rumus rasa manusia.

Kita jarang menyedari hubungan itu: malahan kita barangkali tidak dapat memberi rasional pun kepada kepentingannya. Kerana itu kita tidak pernah terfikir untuk memberi perhatian padanya. Padahal sebagai orang Islam kita selalu melalui latihan khusus dalam proses menajam serta memberi imbangan kepada deria dengar itu.

Betapa waktu bersolat kita dianjurkan melaksanakan bacaan bacaan sehingga kedengaran kepada kita sendiri. "Dengar" disini dihurai oleh ustaz hamba sebagai ada dua cara iaitu:
  • dengar pada telinga dan
  • dengar pada hati.
Dalam saf waktu solat berjumaah kita kadang kadang selalu terganggu oleh bacaan terlalu keras atau sebagainya dari sebelah kita. Kita pun jadi terganggu sehingga hilang khusuk (konsentrasi). Kenapa ?

Kita terlepas daripada memberi perhatian kepada peri pentingnya deria dengar itu dilatih dan didesiplinkan. Kita tidak pernah memberi perhatian untuk melatih deria dengar kita yang ada rangkai hubung (talian komunikasi) langsung dengan hati, perasaan dan emosi. Betapa, sehingga khusuk pun menjadi mudah terganggu oleh gangguan bunyi yang sedikit.

Disatu pihak lain ramai antara kita tidak pernah terfikir pun bahawa bunyi bunyi yang terbit dari kita boleh mengakibatkan gangguan kepada orang lain kerana kita tidak sedar atau tidak disedarkan betapa pentingnya ia dalam komunikasi diri dengan diri dalam diri.

Bunyi / pendengaran adalah alat komunikasi manusia dengan manusia yang paling penting. Tetapi pernahkah kita beri perhatian dalam latihan pengeluaran bunyi dan menganggap ia sebagai keperluan kepada kehidupan. Padahal ia adalah kelengkapan yang sekaligus berguna untuk meluruskan perjalanan kita dalam menuju akhirat.

Kalau ada anak anak kita cuba mencari peluang untuk latihan vokal misalnya. Kita pun memandang kerja itu sebagai tidak baik kerana latihan vokal adalah latihan yang selalu dilalui oleh orang orang yang berhasrat untuk terjun kedunia hiburan. Padahal latihan membaca Quraan juga melalui proses latihan menghalusi ketepatan sebutan (pengeluaran bunyi).

Kita belum lagi berbincang mengenai imbangan dan keadilan. Pernahkah kita perhatikan sejauh mana kita masih mampu mendengar dengan berkesan semasa kita sedang bercakap dengan komitmen yang tinggi pada otak fikir sambil mata pula sedang melihat sesuatu yang menarik. Semuanya menggunakan saraf hubungan serta keberkesanan / kecekapan menganalisa bahagian tertentu otak. Seharusnya kita masih mampu, kalau deria deria kita mampu berperanan (berfungsi) secara bebas dan adil.

Bebas itu bermaksud tumpuan (fokus) kepada peranan deria serta otak olah (analisa) yang lain tidak menghalang deria dengar serta saraf dan otak olah bunyi kita.

Adil itu maksudnya janganlah kerana sedang memberi tumpuan kepada satu atau dua kerja lain kita abaikan maklumat terkutip oleh deria dengar.

Bayangkan kalau satu masa sedang kita tertambat dengan dua atau tiga tumpuan deria dan otak olah; tiba tiba deria dengar mengutip satu maklumat yang menuntut tindakan serta merta tanpa sesaat pun dilengahkan. Apa jadi.

Kecekapan ini boleh berlaku kalau dalam hidup seharian, kita selalu beri perhatian pada permasaalahannya dan seterusnya mengakui bahawa kita perlu melatih kecekapan deria kita. Perhatian itu adalah satu tubi latih praktis berterusan.

Banyak lagi perincian yang belum sempat hamba catat. Cuma catatan ini sudah terlalu panjang. Sedangkan hamba masih ada satu perkara lagi yang rasanya terlalu penting sekaligus dicatat juga disini.

Sikap kita mengenai fahaman kita sendiri tentang sesuatu. Ramai orang apabila sudah ada fahaman mengenai sesuatu perkara, akan sukarelalah ia enggan mendengar pandangan yang melihat dari sudut (perspektif) yang lain; pandangan yang berbeza

Ini adalah tahap mendengar pada paras yang lebih mendalam. Tahap pendengaran minda. Rupanya pendengar yang baik itu juga adalah orang yang terbuka fikirannya. Tidakkah pernah kita terfikir betapa susahnya mencari, mengutip, mengumpul, mengolah dan menganalisa maklumat untuk mendapat pengetahuan terbaik bagi menerbitkan ilmu dari dadarasa kita yang paling lohor. Betapa bagusnya kalau ada pihak lain sudi sukarela membantu. Lebih mudahlah kita membina rumus yang lebih bijak.

Akhirnya mohon pandangan, tegoran, soalan, bantahan atau apa sahaja untuk mencetuskan pemikiran lebih jauh lagi. Semuga perkongsian ini boleh memberi manfaat kepada umat manusia dan kemanusiaan untuk menghadapi cabaran memikul amanah memakmurkan.

Akan disambung bila hamba rasa sudah bersedia.
Terima kasih.
Wallahuaalam.

Selasa, 8 September 2009

Jin Putih Hitam Dohor ...................

Manusia adalah kejadia paling istimewa. Tuhan meletak paras manusia itu melebihi paras malaikat. Kelebihan itu bukan cuma cuma. Ada tanggong jawab yang berkepit mengembar. Itulah cabaran yang kena dihadapi dan ditanggong.

Bagi menghadapi cabaran itu Tuhan menganugerahkan alat yang hebat kita panggil akal "yang bersarang pada otak kita". Hebatnya akal itu terbukti apabila kita faham bahawa ia menghulur alir dalam sulam pindan merata seluruh tubuh memberi kilau pancar jelas pada bahagian (organ) tertentu badan zahir.

Anugerah akal yang hebat itu adalah rahmat dari Allah untuk digunakan oleh manusia bagi menghadapi cabaran cabaran dalam usaha memakmorkan bumi Allah ini. Rupanya bumi ini adalah diamanahkan Allah untuk dimakmorkan oleh umat manusia.

Akal adalah alat utama yang seterusnya berkembang pula dalam deria yang selalunya dihitong berjumlah 5 iaitu:
  1. Dengar.
  2. Hidu / bau.
  3. Kecap.
  4. Raba / sentuh.
  5. Tampak / pandang.
Pengalaman hamba cuba memahami mentera Melayu pernah membawa hamba berhadapan dengan beberapa olahan menarik mengenai rahsia kejadian ini. Namun biarlah ia menjadi pustaka yang dipikul amanah membendungnya oleh mereka yang layak dan bertanggong jawab sahaja.

Di laman ini hamba cuma nak cuba mengajak anak anak mengalun lenggok dalan olah tari lima pola deria itu sahaja. Itu pun dalam asas yang ringkas sahaja mampu hamba bentangkan dilaman terbuka ini.

Dorongan menjurus arus rasa didada hamba sehingga ingin membentangkan perkara ini terbit dari kenangan terhadap seungkapan potongan mentera yang berbunyi:

"... ... ... .....dok peraja junjung julang ke jin putih sekor. Jin putih hitam dhohor seri penaklok, kuning seri perakam ... .... "

Sebutan nama jin itu adalah ditujukan dengan biji mata yang putih dengan hitam dalam ditengahnya dan bintik kuning (yellow spot mengikut istilah sains) di bahagian dalamnya. Kelohan /tegoran yang dibangkitkan oleh pembawa mentera ialah bahawa pelanggannya (subjeknya) itu ialah sekadar apa yang nampak di mata kasar dan disukai oleh mata kasar sahaja.

Maka bagi hamba inilah peringatan yang ingin hamba sampaikan kepada masyarakat kita kini. Memang itulah yang merajai pilihan (napsu) kita kini ........ ................. .................... ................. .................... ....................... ..................... ...................... ..................... ...................

Hamba bercadang untuk membiarkan sahabat2 dan saudara seumat menyambung sendiri dari situ buat beberapa ketika. Hamba akan kembali dengan olehan selanjutnya apabila hamba rasakan hamba sudah tersedia bersedia.

WALLAH HUAALAM


Ahad, 6 September 2009

Pesan Ayah Pesaka Bonda.

Assalamualaikum
Hey anak-anak Melayu
Ingat-ingat akan asal usul mu
Baka yang baik keturunan yang mulia
Ingatlah akan janji yang asal sumpah yang mula
Lahir ke sini sebagai khalifah
Hadhir di sini dengan tugas yang tegas
Jangan dok lalai jangan dok alpa
Siapa nak buat melainkan kita

Hey anak-anak Melayu
Baka yang baik keturunan yang mulia
Khalifah Allah di muka bumi
Kuasa politik di tangan kita
Kuasa ekonomi hak kita nak cari jaga
Kuasa sebar kata di tangan orang
Jangan dok hanyut lalai alpa
Jangan digadai sebuah Negara
Jangan terlepas pegangan kuasa
Hak kita
Hak yang asal
Hak yang mula
Tinggalan ayah pesaka bonda
Siapa nak jaga kalau bukan kita

Hey anak-anak Melayu
Baka ayah zuriat bonda
Jangan dok lena di selimut gebar
Jangan dok hanyut diulit khabar
Bangkitlah bangun mengatur tapak
Buka langkah mengatur tari memecah pencak
Gelanggang alaf bukan kepalang
Gelanggang alaf gelanggang sejagat

Hey anak-anak Melayu
Baka ayah zuriat bonda
Sumpah janji jangan percuma dok ucap
Ikrar bertabik jangan saja saja dok angkat
Ingat ingat amanah ninda moyang purba
Terikat bebat di ubun junjung
Semat kejat di otak ingat
Pengiring berkat menebat nekad
Sundang keramat tinggalan ayah tegap bersakai
Keris picit pesaka bonda gah mengiring

Anak Melayu baka yang wira
Sumpah dan janji jangan main mengacu cuba
Ikrar bertabik jangan percuma dok angkat tayang
Petapa purba jangan dok gerak bangkit jaga
Takut percuma diri perkasa jiwa wira tidak berlangir
Takut terlangkah hajat ibu wasiat ninda patangan moyang
Takut lupa pesan ayah bijak berpandai di gelanggang
Takut lupa pesaka bonda mengulit bahasa berbudi di laman

Anak Melayu baka yang mulia
Hajat yang satu janji yang asal
Rukun yang lima menjadi pegangan
Rukun yang enak senang mengaman
Dua puluh sifat tegap menjulang
Asal janji tetap dikota
Asal sumpah tetap di jaga
Asal kuasa masih milik kita
Asal daulat masih memegah takhta

Maka wahai Melayu anak baka
Dari keturunan baik mulia
Jangan dok tanya salah siapa
Jangan dok tanya silap siapa
Rumah yang ada jangan dibugar
Istana yang ada jangan dibakar
Takhta yang ada jangan diroboh
Takut merana anak cucu kita
Takut kita yang menanggong dosa

Maka wahai Melayu anak baka
Dari keturunan baik mulia
Marilah kita mendabik dada
Bertanya pada selera
Tanyalah kita pada hakikat sendiri
Aku yang ada bagaimana asalnya
Hadhir di sini bagaimana usulnya
Hak yang ada dari mana puncanya
Ilmu yang ada siapa yang punya
Akhirnya kita akan jatuh kemana.

Sabtu, 5 September 2009

Jelmaan Semula

Hamba ini adalah baka perajuk yang belayar jauh sebelum singgah di Pulau Duyung bersama seorang adik perempuannya. 7 keturunan selepas itu lahirlah hamba yang hidup dizaman Marhum Haji menjadi penjaga pantai dan pulau pulau di laut. Kini hamba kembali untuk bersama keturunan ke5 selepas hamba menjaga kebajikan dan pesaka keturunan ke 7 selepas hamba. Laman ini adalah antara gelanggang hamba dalam menjaga amanah itu.