Rabu, 14 Oktober 2009

FATWA DALAM MENGENAL HATI MANUSIA.

Tiba tiba fikiran fikiran menjadi tertumpu kepada suatu mimpi yang terjadi lama dahulu. Dalam mimpi itu hamba didatangi oleh moyang hamba Wan Mutahir @ Wan Tahir @ Batin Itam yang menjaga banjaran pantai negeri Terengganu DI serta pulau pulau di laut Cina Selatan dengan caranya sendiri sehingga zaman Marhum Haji. Kehadhiran beliau ketika itu seperti memberi peringatan kepada hamba agar memerhatikan dengan cermat beberapa orang sahabat di sekeliling hamba. Beliau memaklumkan kepada hamba apa yang hamba namakan sebagai fatwa mengenal hati manusia.

Entah mengapa tiba tiba hari ini hamba menjadi bersemangat untuk berkongsi fatwa itu sekadar yang dapat diingat dan diungkapkan pada hari ini. Mudah mudahan semua yang berguna untuk tatapan manusia akan bersinar memancar dalam otak ingat hamba semasa membuat catatan ini. Inshaallah apa sahaja yang wajar menjadi rezeki umum akan keluar daripada kitab ingatan ini. Barangkali juga maklumat yang lebih lagi dapat dikutip dari buku buku saikologi. Hamba cuma merasakan maklumat ini ada kelainannya yang tersendiri.

Setiap manusia adalah pencari kerana Tuhan memang menganugerahkan akal kepadanya sebagai anugerah yang istimewa. Namun anugerah itu adalah petanda kepada tanggung jawab yang kena dipikul. Manusia kena bertanggung jawab terhadap apa sahaja yang dikerjakannya kerana apa sahaja yang dikerjakannya adalah hasil olahfikir dan simpulrumus dari mindanya sendiri.

Dalam pencariannya manusia adalah teramat keratif. Apa sahaja tindakannya adalah caranya sendiri. Cara yang terpilih itu pula adalah berbagai bagai bergantung kepada niat dan hajat serta ketulusan dan keikhlasan individu. Ada yang menyembunyikan niat hajatnya; ada yang mengistiharkan niat hajatnya dan ada juga yang mengistiharkan niat hajat itu sebagai pelindung kepada niat hajat yang sebenarnya tersirat dalam keinginan pencariannya sendiri. Mudah ceritanya ada orang yang telus, tulus dan ikhlas;  namun ada juga yang tidak.

Ada lagi sejenis hati manusia kejadian Tuhan ini yang memang tidak sedar. Biasalah kalau yang tidak sedar apa yang ia bicarakan. Keadaan itu lahir dari sikap ambil mudah dan bersahaja mengisi ruang dan selalunya didorong oleh hajat supaya terlihat sebagai pandai dan bijak. Ini menunjukkan hatinya berisi dengan madu berzatkan napsu.

Namun ada juga manusia yang memang tidak sedar akan niat hajatnya kerana memang kefahamannya sudah dianjurkan oleh unjuran yang dia sendiri tidak faham lantaran lendir mindanya sudah tersalut oleh petunjuk yang salah dari maklumat yang tidak difahami dengan sempurna. Inilah sebabnya sesuatu maklumat itu kena cuba dilihat banyak kali dari banyak sudut untuk mencari kepelbagaian makna kelainan maksud. Jadi rupanya untuk sentiasa paling hampir dengan benar itu manusia kenalah membina mindanya untuk menjadi kaya dengan berbagai rupa dan bentuk kefahaman diatas perkara yang satu.

Malangnya kebanyakan manusia selalu suka mengunci mindanya dengan jalur pengertian yang mula mula dia faham dan seterusnya menjadikan fahaman itu sebagai sudah mutlak, memadai dan sudah sempurna lengkap. Finomina ini selalu menghalang manusia daripada berkembang dan berkembang lagi dengan kekayaan ilmu. Apa lagi untuk menemui kebenaran yang jelas pasti.

Kadang kadang yang ditemui oleh ilmunya itu memanglah yang benar tetapi ia belum menemui kebenaran kerana benar yang dikenali itu cuma sekadar luaran atau sekadar rupa dan bentuknya sahaja. Rupa dan bentuk itu sendiri masih memerlukan terjemahan, olah kaji dan cerna ulas yang mendalam. Belum lagi diselak dedah kulit rupa dan pola coraknya. Namun manusia selalu mudah menjadi selesa dengan mengenal tajuk yang dapat diolah tayang mengkagumkan. Perasaan selesa itulah yang membuat manusia mudah menjadi puas dengan seronok merasa sudah faham dan tahu.

Sesungguhnya apabila berhadapan dengan manusia manisia yang berada dalam keadaan seperti tersebut di atas itu kita boleh mengenal ia. Moyang hamba berpesan; apabila berhadapan dengan manusia dan bercakap (berhubung) dengannya perhatikan:

Bagaimana dia melepaskan perkataan perkataan (dalam penyampaiannya). Orang yang yakin dengan apa yang hendak disampaikan akan melontarkan perkataan perkataannya bulat bulat dengan jelas dan lantas. Dia tidak akan teragak agak atau menelan bahagian bahagian akhir perkataan. Orang yang tidak pasti dengan apa yang hendak disampaikan akan menarik kembali selalunya bahagian hujung beberapa perkataan yang diucapkan. Demikianlah juga keadaannya orang yang sedar ia sedang tidak bercakap benar. Keadaan yang sama juga berlaku dengan orang orang yang gelojoh tetapi kita dapat membezakannya kerana orang gelojoh menelan hujung perkataan kerana perkataan lain menghambat dibelakang.  

Kerdipan cahaya dari matanya. Orang yang bercakap dengan membelakangi suara hati selalunya akan dapat merasai tekanan apabila didapati orang sedang memerhati tepat pada matanya. Kalau dia tidak gagah dalam mengawal perasaan dalamannya kelopak mata itu sendiri akan berkedip. Namun kerlipan cahaya dari dalam bola matanya tetap berkedip. 

Awas mata serta telinganya. Orang yang seimbang kawalan derianya selalunya tidak mudah gagal mengesan sebarang peristiwa yang tercetus dalam persekitarannya. Semasa berbicara menyampaikan ada cetusan cetusan berkaitan berlaku dalam persekitaran. Adakah dia memberi perhatian dan bagaimana pula reaksi diberikan. Tahap hormat yang dia beri kepada cetusan cetusan itu adalah tahap kemuliaan hatinya disamping menjadi pengukur ketangkasan mindanya.

Bagaimana dia menghormati persekitaran dan orang lain dihadapan dan juga disekelilingnya. Keterbukaan dalam hal mengiktiraf hak orang lain dengan baik adalah pengukur kemuliaan hati.

Tiada ulasan: