Lugar:
Istilah lugar yang kita fahami kini membawa erti tiada keseimbangan antara kelapangan perut dan selera. Namun apabila istilah itu digunakan didalam bangkitan mentera seperti pernah hamba temui, ia bermaksud ada penolakan minda terhadap apa yang ada didalam otak fikir. Mermaksud apabila kita menghadapi keadaan yang diistilahkan sebagai lugar itu sudah lahirlah semacam kebosanan dan kebencian terhadap isu sedang dhadapi.
Mual:
Tahap yang lebih memuncak daripada lugar. Sudah membuak kebencian yang teramat sangat. Seperti hendak muntah layaknya. Muntah yang meluluh keluarkan benda benda tidak diingini dari dalam perut adalah perkara biasa yang mudah kita fahami. Tetapi muntah yang dimaksudkan dalam maksud bangkitan mentera ini bermaksud meluahkan penolakan minda dalam bentuk cernaan tindakan emosi.
Babok:
Menggambarkan pemberontakan perasaan. Sudah lahirlah didalam perasaan dorongan untuk menzahirkan penolakan, kebencian dan kemarahan terhadap sesuatu itu melalui tindakan. Dorongan napsu ummarah yang sudah menjadi agak sukar untuk dikawal. Kadang kadang suhu badan pun pada peringkat ini sudah menjadi tidak seimbang dan terkawal.
Bikun:
Dorongan napsiah sudah sempai kepuncaknya. Puncak kemarahan sudah menjadi tidak terkawal sehingga boleh terbit dengan sendirinya perkataan atau tindakan spuntan atas dorongan napsiah. Pertimbangan dari otak fikir sudah menipis dan teramat kurang peranannya. Dalam perkataan kini barangkali kita istilahkan sebagai "Bengong". Dalam keadaan bengong itu kira bicaranya sudah tidak boleh sepenohnya diambil kira lagi.
Pening:
Tekanan fikiran dirasakan pada bailogi / fisikal otak mungkin dalam bentuk denyutan atau imbangan yang tidak menentu. Sampai keperingkat ini deria deria penglihatan, pendengaran, sentuhan, kecapan dan hidu (bau) pun mungkin sudah mula menerima kesan bersama; kerana induk deria sudah ketererlaluan menanggong beban dari tekanan gangguan terhadap sistem serta emosinya.
Relu:
Induk deria sudah sampai kepuncak dalam menanggong beban dari tekanan gangguan terhadap sistem serta emosinya. Tekanan terhadap deria deria penglihatan, pendengaran, sentuhan, kecapan dan hidu sudah menjadi bertambah nyata dan sukar dikawal. Maka tindakan tindakan juga menjadi sukar hendak dikawal. Tetapi pada peringkat ini penanggongnya akan masih teringat akan salah dan silapnya setelah sesuatu lafaz perkatan atau tindakannya terlepas. Dia masih sekali sekali dapat kembali kepada sedar tetapi sudah keterlaluan condong kepada tuntutan napsu ummarah yang parah (bisikan syaitan ?)
Gila:
Sudah hanyut kealam fentasi. Dunianya sudah menjadi lain sama sekali. Dia sidah bertindak mengikut bisikan luaran (bisikan syaitan) yang sudah menguasai minda dan sudah masuk menakluk hatinya. Namun pada peringkat ini penanggung masih lagi ada maruah dan harga diri. Dia masih akan marah dan melenting jika maruah dan harga dirinya dicela. Dia masih ada rasa malu.
Spera:
Segala tindakan sudah hampir sepenohnya dikuasai oleh bisikan syaitan. Sidah tiada lagi maruah dan harga diri. Sudah tiada lagi rasa malu. (Orang dahulu kala menyebutnya sebagai sudah lupa kain bajunya). Sepenoh mindanya sudah hanyut dibuai perasaan yang sudah diterbangkan kealam fentasi. Dia seronok disana kerana alam yang palsu itu indah baginya. Namun apabila ada sebab atau sabit dia masih boleh dijinak/tenangkan sekadar untuk masa ketika tertentu. Individu yang dalam hidupnya selalu menjadi pujaan, sanjungan atau dikagum hormat biasanya boleh menjadi penyebab itu. Ahli ahli yang matang dengan ayat ayat tertentu atau bait bait mentera bangkitan tertentu juga mampu menerbitkan radiasi yang mampu menjinak / menenangkan penanggung spera.
Catatan ini dicetuskan daripata istilah istilah yang hamba pernah dengar dan faham dari mentera yang pernah diungkapkan oleh ahli ahli dalam amalan perdukunan / perbomohan Melayu. Hamba sebenarnya pernah bertanya secara agak mendalam tentang maksud perkataan perkataan itu dan pernah mencatatkan sekadar yang dapat hamba faham ketika itu. Catatan itu pun pernah menjadi bahan dalam percubaan untuk menerbitkan Ensaiklopedia Budaya Melayu yang musnah dimakan api Wisma Keramat sekitar 1984.
Apa yang tercatat disini cuma berdasarkan ingatan dan huraian yang terbit dari daya fikir hamba sendiri pada masa kini. Namun hamba tetap merasakan ia menarik untuk dikongsikan dengan sahabat sahabat dan anak anak zaman kini. Semuga ia boleh menjadi sebab untuk mencetuskan sesuatu yang lebih bermakna.
Hamba juga merasakan lontaran ini sudah menjadi penting bagi mencetuskan fahaman terhadap banyak perkara yang sedang berlaku kini. Mashaallah.
Wallahhuaalam Bissawab.