Hamba dan isteri berasal dari sebuah pekan kecil di Terengganu Darul Iman. Semasa merayakan Hari Raya Idilfitri yang masih meriah kini kami serta seluruh anak cucu berhimpun di rumah rumah orang tua kami di pekan kecil tersebut. Sebuah pekan yang kini sudah menjadi sebuah bandar yang agak sibuk itu ikut dihiasi dua sungai yang bertemu disatu sudut sempadannya.
Penduduk bandar dan kawasan sekitarnya semenjak zaman kami hidup sebagai kanak kanak yang riang hampir keseluruhannya adalah Melayu termasuk kira kira sepuluh keluarga keturunan Parkistan yang sudah menyelinap senyamannya menjadi dikenali sebagai Melayu kerana mereka semua berugama Islam walau pun mengikut mazhab tersendiri. Terdapat juga belasan keluarga Cina penganut Comfusze, Budha dan Kristian; empat keluarga India penganut Hindu dan empat keluarga orang Siam yang menganut ugama Budha.
Hamba sendiri merasai nekmat intergrasi antara kaum kaum walau pun kawasan kediaman adalah agak dipinggir pekan tetapi bapa hamba yang menjalankan perniagaan kedai runcit berkawan rapat dengan kaum lain terutamanya Cina yang banyak membantu perniagaan bapa. Isteri hamba pula dibesarkan ditengah tengah pusat pekan kerana datuknya adalah antara penduduk yang paling awal mengambil penempatan di kawasan itu. Maka nekmat intergrasi antara kaum kaum adalah lebih lebih lagi dirasai oleh Isteri hamba. Bukti kepada perkara ini telah terserlah didepan mata hamba pada hari raya ketiga. Kami menjelajah beberapa kedai ditengah bandar untuk mencari beberapa keperluan. Rupanya sebuah kedai yang kami datangi dimiliki oleh seorang rakan sepermainan isteri hamba, seorang perempuan Cina, sewaktu mereka masih kanak kanak.
"Eh Nun !" sapa pemilik kedai itu.
Isteri hamba menoleh dan "Ah mu Mek Chee, kedai mu nih?" Mereka beredar ke sudut dihadapan kedai itu dan meneruskan bualan mengungkit nostalgia zaman kanak kanak sementara hamba tinggal tersenyum dari jarak tidak jauh sambil senyum senyum keseronokan melihat keriangan mereka.
Tiba tiba berlari lari seorang perempuan dari jarak beberapa pintu kedai sambil memekik "Jenun!! Jenun!!!" Isteri hamba dan Mek Chee menoleh dan serentak seperti berpakat berkata, "gegeerlah mu ni Mek Su !" Mek Su adalah seorang bangsa Siam yang menjalankan perniagaan pakaian siap beberapa lot kedai dari kedai Mek Chee. Keseronokan mereka bertiga itu telah membuatkan bualan mereka tidak dapat diperlahankan lagi.
Dan tiba tiba kuat bunyi seretan tayar kereta diiringi bunyi hon yang garang. Ketiga rakan lama tadi tiba tiba memekik, "Jenak... !!! Gilo mu.... Nok mapuh ko!!"
"Aku nampak Jenun nih. Lamo dok tengok dio; dok berubah pun dio nih." Jenak ialah seorang perempuan India. Dia berlari menyeberangi jalan tanpa menyedari sebuah kereta sedang memotong kereta lain yang sedang tabah dalam suasana sesak kerana pertambahan bilangan kereta yang keterlaluan di musim perayaan.
Rioh rendahlah jadinya mereka berempat berebut peluang untuk bercakap bertanyakan khabar, kedudukan keluarga masing masing diselang seli dengan mengulangi cerita cerita nostalgia zaman kanak kanak. Keriohan yang membuatkan isteri hamba terpaksa lebih banyak tersenyum dan ketawa sahaja, lantaran tak sempat merebut peluang untuk bercakap.
Perakuan paling menarik hamba dengar ialah:
"Kito 1 Malaysia lamo doh. Kito mandi sungai sama sama, cari etak, main toe (main kejar kejar), gi pasar dan kadang kadang makan pun sama sama. Lamo doh eh kita hidup bersemangat 1 Malaysia"
Perakuan sebenar dari generasi zaman hamba ini membawa kenangan yang pilu bagi hamba. Kemana perginya intergrasi perkauman yang begitu unik yang telah menjadi amalan budaya demikian menyeronokkan itu. Apakah yang telah mengalih keharmonian hidup yang begitu nyaman sehingga meninggalkan kesan mendalam membawa keamanan yang nyaman sebuah masyarakat.
Dapatkah dapat kita kembalikan suasana budaya demikian untuk masa hadapan negara kita dengan gagasan 1 Malaysia. Semuga ada kesudian yang ikhlas dari semua pihak.
2 ulasan:
Begitulah 1-Malaysia yang lebih sejati dari yang dilaung-laungkan sekarang ini.
Sekurang-kurangnya mereka bercakap 1-Bahasa, bahasa yang berteraskan bumi tempat kaki ini berpijak. Bukannya bahasa rasmi negara asing seperti Mandarin atau Tamil itu.
Peneraju kerajaan, yakni PM, dilihat terlalu galak condong ke arah cina dengan semangatnya mempromosikan bahasa Mandarin serta begitu mempertahankan sekolah vernakular. Semuanya ini membuatkan laungan 1-Malaysia nya menjadi kosong tanpa jiwa. Hanya sebuah tin kosong, cakap tidak serupa bikin.
Konsep keadilan yang kita pegang bersama ialah meletakkan sesuatu pada tempatnya secara wajar.
Namun dalam tekanan tekanan yang timbul atau ditimbulkan kita pun menjadi terdorong untuk condong kepada yang lantang lantang menuntut.
Berangkali kita juga kena semak kelantangan itu. Keadaan bagaimana yang mendorong kelantangan itu; Juga bagaimana dapat kelantangan begitu diimbangi.
Catat Ulasan