Rabu, 7 Julai 2010

Dulu dan kini = satu perbandingan yang tidak setanding.

Tiba tiba teringat kepada zaman aku kanak kanak dahulu. Setiap petang kami kanak kanak sekampong berkumpul kemadrasah guru kuraan. Madrasah itu mempunyai kolah yang agak besar dengan airnya sentiasa penoh. Kamilah yang memenohkannya dengan air yang diambil dari perigi dengan menggunakan timba yang dibuat dari upih nibong. Dalam juga perigi itu tetapi kami seronok mengambil giliran mengambil air dari perigi yang dalam itu. Itulah sahaja yuran yang kami kena bayar untuk belajar membaca kuraan setiap hari 7 hari seminggu itu. 

Tok Guru pula memang tekun mengajar setiap petang. Sebelah malam pula Tok Guru membaca kitab untuk orang dewasa yang juga tidak membayar yuran. Sebelah pagi juga Tok Guru ada jadual mengajar kepada kumpulan sasar tertentu lagilah tiada yuran kerana kumpulan itu merupakan sahabat sahabat paling rapat dengan Tok Guru. Namun Tok Guru yang ada 3 rumah  dengan 3 orang isteri itu tetap lumayan menyara ketiga tiga keluarganya dengan 2 orang anak sedang belajar di Timor Tengah dan 3 orang sedang menuntut ilmu di sekolah pondok yang jauh dari kampong kami.

Apabila aku meningkat dewasa baharulah aku mula berfikir bagaimanalah Tok Guru mendapat rezki untuk membiayai seluruh keperluan hidupnya sedangkan beliau tidak sedikit pun mempunyai masa untuk kerja kerja mencari wang. Rupa rupanya 7 ekar tanah padi milik Tok Guru diusahakan secara bergotong royong oleh orang orang kampong dengan hasilnya diserahkan keseluruhannya kepada Tok Guru. 4 ekar dusun buah buahan juga dijaga dan dikutip hasilnya oleh orang kampong secara sukarela. Isteri isterinya memotong getah milik masing masing sementara semak samun ditebas oleh orang kampong yang ada kelapangan tanpa meminta upah. Kawasan dihadapan madrasah seluas kira kira 1 ekar itu pula penoh sentiasa penoh dengan berbagai jenis ubi dan kekacang. Semuanya tidak memerlukan usaha dari tenaga dan masa dari Tok Guru kerana masanya penoh dengan jadual mengajar yang juga tiada upahnya.

Terfikirlah aku dalam perbandingan dengan zaman kini. Kalau nak cari orang untuk mengajar membaca quraan kepada anak anak pun kena kira berapa yuran bulanannya. Sesekali terfikir juga aku betapa orang orang yang membawa ilmu ugama nak menyampaikan kepada orang ramai pun kena bayar. Syarat kena bayar itu termasuklah untuk datang memberi kuliah di surau surau di kampong juga. Kemanalah hilangnya semangat tabligh yang dianjurkan oleh ajaran Islam itu? Apabila keluhan itu aku suarakan kepada seorang kawan; spontan dia menjawab: "Habis tok guru tu nak makan apa ? Macam mana dia nak tanggong persekolahan anak anaknya dan kehidupan keluarganya. Minyak dan jagaan keretanya dan ... dan ... dan ... yang tak putus..."

Rupanya kita tidak dapat mengharapkan perkara yang sama dalam keadaan yang berbeza. Kalau keadaannya sudah berubah, segalanya akan jadi berbezalah. Kena rela dan redhalah kita. Banyaklah perkara yang sudah berubah kini dalam serba serbi dalam persekitaran dan kehidupan kita. Maka kenalah kita terima hakikat bahawa seluruh keadaannya telah berubah dan kenalah kita terima. Kalau ada yang tidak boleh kita terima kerana ada percanggahan dengan ugama dan sebagainya kenalah kita hadapi dan atasi secara bersama sebagai semuah masyarakat. Masyarakatlah yang kena berubah untuk mengubah keadaan dalam masyarakat. 

Wallahuaklam.

Tiada ulasan: