Jumaat, 17 Disember 2010

Songket Terengganu = masih mampu bertahan kerana hargakah atau mutunya.

Seorang sahabat lama, Dato Sulaiman Osman bekas KetuaPengarah Perbadanan Kemajuan Keraftangan Malaysia dalam tahun 70an dahulu pernah berkata:

"Perusahaan songket di Terengganu dan Kelantan akan berkubur kalau mereka tidak pandai mengalihcari mutu dan nilai tersendiri. Mereka tidak akan mampu melawan songket dari India yang terlalu murah harganya itu"

Memang sekarang ini Songket Terengganu masih mampu bertahan bukan dengan saingan harga tetapi dengan keunikan nilai serta corak dan mutu buatannya. Cuma malangnya keupayaan mempertahankan keunikan nilai dan mutu tenunan itu hanya mampu dikuasai oleh puteri puteri tenun yang sudah tua diatas keynya yang sudah reput serta bergoyang. 



Tidakkah kita pandai melihat potensi pengeluaran batik dan songket serta lain lain seni keraf itu sebagai produk seni dan memasarkan ia sebagai karya seni yang dapat memasyohorkan daya karyanya? Untuk itu kemahiran yang ada hendaklah digabungjalinkan dengan daya karya yang dibijak pandaikan oleh sekolah sekolah seni. Atau adakah sekolah sekolah seni pun tidak berfokus kearah pencapaian pembangunan begitu ? Malanglah...





Kekadang hamba pun dapat merasa seronok apabila membaca lapuran disana sini yang menyebut adanya kain songket yang dijual dengan harga sampai seribu dan lebih. Inilah petunjuk jelas memberitahu kita bahawa manusia prihatin kini sedang mengejar karya karya kaya seni yang sedang menghadapi kepupusan itu. 

Ada lagi berita menarik yang cukup cukup menyeronokkan jiwa kerdil hamba apabila dikhabarkan ada ramai rupanya saudara mara dan sahabat handai mereka kini sengaja mencari songket yang baik dan tinggi nilai estetika serta mutu buatannya tidak kira berapa harganya. Gerakan itu seperti sengaja mahu menjadikan ia sebagai artifak koleksi seni dan memberi gambaran seolah olah adanya ramalan bahawa bahan yang begitu hanya menunggu masa untuk diiktiraf sebagai barang antik.

Akhirnya ingin hamba bertanya kepada angin yang lalu: Orang muda dan kemudahan kemudahan baharu yang lumayan dimana adanya? Atau adakah harga yang lumayan yang kebetulannya sudah banyak terjadi itu sebenarnya bukan tercurah kepada tukang dan ahli sebenar tetapi tersangkut setakat pemodal yang menyediakan lembar lembar benang dan losengnya sebagai dagang niaga untuk keuntungan lumayan sahaja ??? Wallahuaklam.

Barangkali juga pemerintah patut menangani usaha itu. Tetapi hati hatilah; takut nanti ada pihak yang merasakan diri mereka terhalang daripada terus menerus membuat untung lumayan akan diam diam berontak dan pemerintah yang akan kehilangan undi.

Barangkali juga masyarakat kita ini belum layak menerima amalan sistem demokrasi.

Wallahuaklam.

Jumaat, 10 Disember 2010

Tujuan Hidup

Tujuan meneruskan hidup ini selain menambah bakalan (semuga diterima benar) adalah untuk berjasa kepada kemanusiaan. Tidak lebih dan tidak kurang. (Lebih sehingga ada balasan diharapkan dan kurang sehingga tiada ikhlasnya). Semuga dimakbulkan Allah swt.